04 September 2008

Mengapa bising-bising jika tidak percaya lebih 30 MP BN akan sertai Pakatan Rakyat 16 September

Cuti 16 September hanya muslihat Anwar

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Langkah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggembar-gemburkan bahawa tarikh 16 September wajar diisytiharkan sebagai cuti umum merupakan satu bentuk muslihat untuk membeli 'perasaan' rakyat Sabah dan Sarawak.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, Anwar cuba menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negeri itu dengan sengaja menjadikan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan sebagai agenda perjuangannya.

Beliau bagaimanapun yakin rakyat Sabah dan Sarawak matang untuk menilai perilaku Anwar yang disifatkannya sebagai semakin terdesak dalam usahanya menarik Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang.

''Anwar telah berjanji kepada rakyat bahawa dia akan membentuk kerajaan baru pada 16 September dan secara tiba-tiba juga mahu menjadikan tarikh ini sebagai cuti umum.

''Ini semua muslihat Anwar, dia memang bijak untuk memikat hati rakyat, tetapi dia lupa yang rakyat kini semakin matang dan mereka tidak mudah ditipu dengan sebarang fakta yang tidak berasas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Anwar supaya pimpinan pembangkang di lima buah negeri mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum.

Anwar berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah sama seperti 31 Ogos.

Selain itu, Anwar sebelum ini pernah menyatakan keyakinannya iaitu sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan menyertai pembangkang pada 16 September ini bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan baru.

Vui Keong berkata, sejak 45 tahun lalu, rakyat Sabah dan Sarawak telah dapat menerima tarikh 31 Ogos sebagai satu-satunya tarikh kemerdekaan negara.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keyakinan Anwar untuk membawa masuk 30 Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak, beliau berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

Ujarnya, Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak masih mempunyai kejujuran, maruah, nilai harga yang tinggi dan integriti.

''Jangan sangka wakil rakyat kami mudah dibeli dengan wang ringgit. Kedudukan kami ditentukan oleh mandat rakyat dan kami tidak akan sia-siakan kepercayaan yang telah diberikan,'' katanya.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Fadillah Yusof pula berkata, rakyat harus sedar dengan apa yang cuba dilakukan oleh Anwar kerana ia tidak lebih daripada satu gimik politik.

Beliau berkata, Anwar bijak bersandiwara dan menyusun strategi dalam usaha mencapai cita-cita politiknya.

''Tetapi saya yakin dan percaya rakyat dan pemimpin daripada semua parti komponen BN sama ada di Sabah dan Sarawak tahu mengukur sejauh mana keikhlasan Anwar untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat di kedua-dua negeri.

''Saya bercakap atas kebenaran. Berbeza dengan BN, kita tidak mahu banyak berjanji, sebaliknya kita akan terus bekerja untuk membela rakyat,'' katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin turut menaruh keyakinan terhadap kesetiaan Ahli-Ahli Parlimen BN di Sabah dan Sarawak

Namun, beliau mahu semua pihak memantau setiap perkembangan yang berlaku kerana Anwar sudah tentu tidak akan berdiam diri dalam usahanya mencapai cita-cita politik yang telah terpendam sejak sekian lama.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment