Saya percaya
Ramai yang tidak percaya mengenai dakwaan perubahan kerajaan 16 September 2008. Mereka tidak percaya MP Barisan Nasional akan lompat parti. Dr Mahathir berkata, kalau Anwar bayar, orang lain pun boleh bayar tetapi hakikat kali ini berbeza. Adakah tidak mungkin lompat parti ini bukan kerana berbayar. Katakanlah, hari ini MP yang ada – mahu bertukar kulit bukan kerana bayaran tetapi kerana tempat yang mereka duduki adalah tempat kaku yang membatas pergerakan dan suara-suara perubahan yang mahu mereka lakukan. Mungkin mereka mahu perubahan dari kongkongan yang ada dalam BN – yang memaksa untuk menuruti arus biar arus itu kotor dan tidak lagi jernih. Dr Mahathir sendiri gugurkan keahlian beliau dalam UMNO kerana hilang kepercayaan kepada pucuk kepimpinan yang dilantiknya sendiri.
Kalau itu persepsi mereka adakah tidak mungkin ada yang melompat parti kerana prinsipal perjuangan. Mungkin juga ada yang melihat BN seakan sudah sampai ke detik-detik terakhir mentadbir negara ini lantas mengambil keputusan untuk melompat. Banyak kemungkinan tetapi apa yang jelas adalah penerimaan rakyat sudah mula berubah. Apa yang dilihat adalah perubahan yang mahu dilakukan oleh rakyat dan perubahan ini adalah perubahan menyeluruh dan bunga-bunga kehendak kepada perubahan itu telah mereka telah mereka terjemahkan dalam PRU 12 lalu. Sehingga kini UMNO dan Barisan Nasional kelihatan tidak mampu melakukan apa-apa perubahan. Sehingga hari ini perubahan ada pada idea dan keinginan tetapi langkah pertama untuk perubahan itu masih cacat dan tergendala. Ini mungkin satu persepsi yang salah tetapi itulah yang ada di hadapan kita – UMNO dan Barisan Nasional masih tidak berubah.
Adakah saya mempercayai perubahan kerajaan akan berlaku? Saya mengambil sikap mempercayai 16 September 2008 – sebelum atau sesudah akan berlaku. Kerajaan mungkin berubah dan perubahan itu akan meletakkan Barisan Nasional sebagai pembangkang. Kerajaan baru mungkin tercetus dan ini adalah tempoh tamat untuk UMNO dan Barisan Nasional. Saya tidak akan mengambil sikap “denial” kerana saya percaya Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim tidak akan membuat omongan kosong yang akan memakan diri. Kita boleh kata apa sahaja tetapi kita sebenarnya menutup sebelah mata untuk melihat bahawa Pakatan Rakyat semakin di terima dan semakin mendapat pengaruh yang besar.
Kita patut menerima hakikat ini dan penerimaan hakikat ini akan memberi kita kesedaran bahawa UMNO dan Barisan Nasional perlu berubah segera sebelum pemilihan akan datang. Perubahan ini perlu untuk menghalang dari cita-cita perubahan kerajaan 16 September 2008 berlaku. Kita perlu mengambil sikap bekerja seolah-olah kerajaan akan ditolak rakyat esok.
Apa pun keyakinan saya, saya tetap mengatakan bahawa selagi UMNO tidak berubah hari ini maka 16 September 2008 – mungkin cepat atau lewat sedikit akan memberi kesan negatif pada parti dan sekiranya ini tidak berlaku PRU 13 akan menyaksikan perubahan tetap. Terpulang kepada kita ahli untuk mengasak perubahan dalam UMNO dan terpulang kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk mempertahankan diri dan kekal sehingga UMNO menjadi korban.
www.umno-reform2.com
No comments:
Post a Comment