DOVER - Seorang warga Switzerland, Yves Rossy mencipta sejarah apabila menyeberangi Selat Inggeris dengan terbang menggunakan sayap berenjin jet yang dipakai pada bahunya semalam.
Rossy yang diberi jolokan 'lelaki roket' mendarat di sebuah padang dekat tebing curam di Dover, Britain selepas terbang secara solo selama 10 minit.
Dia terjun dari sebuah kapal terbang ringan pada ketinggian 2,500 meter dan menghidupkan sayap berenjin jet sekali gus terbang sejauh 35 kilometer dari Calais di Perancis ke Dover.
"Cukup sempurna. Awan biru, cuaca cerah, tidak ada awan, suasana adalah sangat baik.
"Kami sudah melakukan persediaan dan ia adalah sesuatu yang hebat," kata juruterbang yang berumur 49 tahun itu.
Perjalanan merentasi selat itu bertujuan untuk mengikut laluan seorang juruterbang Perancis, Louis Bleriot.
Bleriot merupakan individu pertama yang menyeberangi selat itu dengan menggunakan sebuah pesawat, 99 tahun lalu.
Beratus-ratus penonton bergegas untuk menyambut ketibaan Rossy di mana sebahagian mereka cuba merakamkan gambar menerusi telefon bimbit berkamera dan kamera.
"Ia merupakan pencapaian yang menakjubkan, kami melihat kemuncak percubaan ketika dia mendarat menggunakan payung terjun," kata seorang penonton, Geoff Clark.
Sayap yang diperbuat daripada komposit karbon itu akan mencapai berat 55 kilogram ketika diisi dengan bahan bakar.
Ia tidak mempunyai stereng menyebabkan Rossy terpaksa menggerakkan tubuhnya untuk mengawal pergerakan.
Dia memakai sut penahan haba yang dipakai oleh anggota bomba dan pelumba kereta bagi menlindungi diri daripada haba enjin.
Angin dan altitud tinggi juga membantu mengelak dia daripada merasai suhu panas ketika terbang.
Seorang pegawai teknikal kanan sebuah persatuan lundur udara, Mark Dale menganggap penerbangan yang dilakukan oleh Rossy sebagai satu lagak negari yang hebat.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu saya.
"Saya merupakan satu-satunya individu yang terbang menyeberangi selat ini dengan menggunakan cara ini," katanya kepada pemberita.
Aksi Rossy turut dirakamkan secara langsung dari sebuah pesawat dan helikopter yang turut mengikuti penerbangan bersejarah itu.
Sejak beberapa bulan lalu, Rossy membetulkan rekaan sayap itu dan melakukan beberapa ujian terbang dalam terowong angin dan pergunungan Alps.
Rossy akan kembali semula bertugas Isnin ini apabila dia mengendalikan penerbangan pesawat Swiss International Air Lines ke Mesir. - Agensi
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment