30 September 2008

Lebih baik sampai lewat dari ke rumah mayat - Dr M ~ Harakahdaily

KUALA LUMPUR 29 Sept (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada yang beragama Islam.

Kepada yang akan pulang ke kampung, beliau meminta mereka memandu dengan cermat dan jangan memecut.

"Ingatlah keluarga yang sedang menunggu. Fikirkanlah betapa sedih dan pilunya hati mereka apabila kegembiraan yang dinanti bertukar menjadi kesedihan," katanya sambil meminta mereka supaya berhati-hati.

"Balik kampung adalah satu tradisi yang amat baik. Ianya dapat menolong mengekalkan pertalian dan hubungan kita dengan ahli keluarga ibu bapa kita dan saudara mara kita. Dan jika kita benar-benar datang dari kampung, ianya akan ingatkan kita kembali tentang asal-usul kita, kenangan manis masa lampau dan kehidupan kita yang serba sederhana dahulu.

"Namun saya kesal kerana antara mereka yang pulang ke kampung akan ada yang tidak akan sampai ke rumah. Mereka akan terkorban di dalam kemalangan jalanraya. Hari Raya, mahupun Tahun Baru Cina yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan dan kasih sayang keluarga yang menanti kepulangan kita ke kampung sebaliknya bertukar kepada kesedihan meratap akan yang telah pergi," katanya lagi dalam blognya, chedet.com

Walaupun banyak usaha yang telah dilakukan kerajaan untuk merendahkan kadar kemalangan maut, kata Dr Mahathir, tetapi angka tersebut masih tetap meningkat.

Sambil mengakui hakikat bahawa rakyat Malaysia pada umumnya memandu dengan laju, beliau berkata: "Mereka akan hilang sabar jika kenderaan di hadapan mereka berjalan dengan perlahan. Mereka akan memintas, dan kadang-kadang memotong beberapa kenderaan di

Walaupun ada yang memandu dengan berhati-hati, katanya, pemandu lain pula kurang cermat dan akan berlanggar serta mengakibatkan kematian.

Adalah amat penting, katanya, bagi semua pemandu-pemandu kenderaan persendirian, lori dan bas untuk memandu dengan perlahan dan cermat.

Bekas Perdana Menteri mengingatkan lebih baik tiba ke destinasi lewat sedikit tetapi selamat daripada dihantar ke rumah mayat hospital.

"Saya kira kita semua biasa dengar nasihat ini. Kita fikir kematian di jalan raya hanya terjadi kepada "orang lain". Tetapi kita adalah "orang lain" kepada orang lain. Kematian mungkin akan datang kepada kita, mungkin bersama orang yang kita sayang.

"Saya berdoa kepada Allah s.w.t. agar kita beringat tentang pesanan yang diberi ini. Memandu dengan cermat dan berhati-hati tidak akan merugikan kita.

Ingatlah yang kita mungkin jadi "orang lain" yang terkorban di dalam kemalangan yang dilapor tahun ini,' kata beliau.

Dr Mahathir akan mengadakan majlis rumah terbuka pada hari Ahad, 5 Oktober di kediaman beliau beralamat di 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort City, Seri Kembangan dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment