01 September 2008

Lanun tuntut RM10 juta | MISC perlu bertanggungjawab sepenuhnya

Lanun tuntut RM10 juta - Wang tebusan bebaskan 39 anak kapal tangki MISC di perairan Somalia

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Kumpulan lanun yang merampas kapal tangki MT Bunga Melati 2 milik MISC Bhd. (MISC) di Teluk Aden berhampiran Somalia dan Yemen pada 19 Ogos lalu, menuntut RM10 juta sebagai wang tebusan bagi membebaskan 39 anak kapalnya termasuk 29 rakyat Malaysia.

Tuntutan wang tebusan sejumlah RM10 juta itu telah didedahkan oleh seorang anak kapal tersebut ketika dia menghubungi tunangnya di Kelantan baru-baru ini.

Bagaimanapun, sehingga kini tuntutan mereka itu belum dipenuhi sama ada oleh pihak MISC atau Kerajaan Malaysia.

Difahamkan, ia telah menyebabkan lanun terbabit menahan sebuah lagi kapal tangki milik MISC iaitu MT Bunga Melati 5 malam semalam dan menawan 41 anak kapal iaitu 36 rakyat Malaysia dan lima warga Filipina di perairan Somalia.

Ini menjadikan kesemuanya 65 orang anak kapal rakyat Malaysia dan 15 warga Filipina menjadi tebusan kepada lanun-lanun tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan pihaknya telah dimaklumkan bahawa lanun terbabit menuntut sejumlah wang sebagai tebusan tetapi tidak diberitahu jumlah sebenar tuntutan mereka.

Pada masa sama, beliau menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf sama sekali tuntutan itu malah tidak terlibat dalam perundingan pemberian wang tebusan kepada lanun tersebut.

Sebaliknya, jelas beliau, kerajaan melalui Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pertahanan dan MISC sedang mengadakan jaringan diplomatik dengan pihak berkuasa Somalia dan Yemen bagi rundingan pembebasan semua tebusan.

Menurutnya, harapan kerajaan pada masa ini ialah supaya kumpulan lanun terbabit tidak mengganas sehingga membahayakan keselamatan kesemua anak kapal yang ditawan.

“Saya telah diberitahu ada tuntutan wang daripada lanun terbabit tetapi Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan perundingan melibatkan wang tebusan.

“Hari ini saya sendiri telah menghubungi kedutaan dan perwakilan Malaysia di Somalia serta Yemen supaya mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa kedua-dua negara berkenaan,” katanya.

“Esok pagi (hari ini) saya akan beri maklumat terkini mengenai usaha-usaha diplomatik yang telah dilakukan bagi membebaskan semua anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5,” katanya.

Rais juga menegaskan, Teluk Aden dan perairan berhampiran Somalia dan Yemen sememangnya begitu berisiko kerana sentiasa terdedah kepada ancaman lanun.

Menurutnya, ekoran dua kejadian melibatkan kapal dan anak kapal rakyat Malaysia itu, Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas dalam isu anti lanun terutama di Teluk Aden dan perairan sekitarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha MKN, Datuk Muhamad Hatta Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah memulakan rundingan dengan lanun terbabit menerusi beberapa pihak di Malaysia dan Somalia serta Yemen namun setakat ini belum ada keputusan yang dicapai.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa lanun terbabit menuntut wang tebusan sebanyak RM10 juta bagi membolehkan pembebasan rakyat Malaysia yang dijadikan tebusan.

Sementara itu, di Pasir Puteh, Kelantan, Nor Hasliza Mat Zin, 22, memberitahu pemberita, tunangnya, Mohd. Salwadi Mamat, 31, yang merupakan salah seorang anak kapal MT Bunga Melati 2 menceritakan kepadanya mengenai wang tebusan itu.

Beliau berkata, Mohd. Salwadi memberitahu mengenai wang tebusan itu ketika mangsa menghubunginya Selasa lalu.

Ketika ditemui di rumahnya, Nor Hasliza berkata, tunangnya itu memberitahu bahawa lanun terbabit meminta wang tebusan RM10 juta daripada kerajaan Malaysia untuk membebaskan kesemua anak kapal itu.

“Saya cuma dengar dia kata bahawa lanun-lanun hendakkan RM10 juta daripada kerajaan tetapi ketika itu talian tidak begitu baik dan dia tidak cerita lebih mengenainya,” katanya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment