PKR sokong pecat jawatan Zul Hassan
PKR menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Perak untuk memecat Zul Hassan yang mengaku menerima habuan seks, sebagai ahli Majlis Daerah Perak Tengah.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mempermain-mainkan ikrar Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang menghormati kepercayaan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan segera kerajaan Perak itu menunjukkan keseriusannya untuk melaksanakan komitmen Pakatan Rakyat bagi memastikan soal moral dan etika dipertahankan oleh mereka yang memegang jawatan awam dan bukan cakap semata-mata.
Jawatankuasa disiplin PKR, tambahnya, akan meminta Zul Hassan menjelaskan kenyataannya yang membandingkan pelakuan seks sebagai satu sedekah.
Menurut Wan Azizh, adalah penting bagi pemimpin di atas menunjukkan tingkah laku yang baik untuk menjadi teladan kepada generasi muda.
Sehubungan itu, katanya, PKR menyokong penuh terhadap Zul Hassan dan apa juga tindakan yang akan diambil pada masa depan apabila cukup bukti mengenai salahlaku tersebut.
"Sekali lagi, kita mengulangi bahawa kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salahlaku oleh mana-mana pemegang jawatan awam, tanpa mengira kaitannya dengan parti atau jawatannya.
"Sementara itu, kami ingin mengesahkan bahawa Mohammad Imran Abdullah yang turut dikatakan terbabit dalam skandal tersebut bukan ahli PKR," kata Wan Azizah.
Wanita turut sokong
Sementara itu, Wanita PKR juga menyokong tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin yang mahu Zul Hassan melepas segera jawatan ahli Majlis Daerah Perak Tengah.
Sehubungan itu, pergerakan tersebut mahu pihak pimpinan terutama, Dr Syed Hussien Ali selaku pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, mengambil tindakan disiplin parti terhadap Zul Hassan.
Ketuanya, Zuraida Kamaruddin merujuk merujuk kepada fasal 5 (11) dan fasal 5 (3e) berhubung perjuangan parti itu membela dan memertabatkan kaum wanita.
"Fasal 5(11) memperjuang dan membela nasib wanita serta memartabatkan kaum wanita dan fasal 5(3e) juga menekankan kepada aspek ketinggian akhlak.
"Jelas perbuatan yang dilakukan Zul Hasnan tidak berakhlak sama sekali khususnya bagi insan yang beragama Islam," kata Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami Wanita Keadilan juga mahu tindakan segera diambil tanpa mengira latarbelakang parti," katanya.
Merujuk kepada aspek keadilan, tambah Zuraida, seharusnya wanita tersebut juga perlu mendapat pembelaan sewajarnya tanpa mengira bangsa dan agama.
"Jawatan Zul Hassan - selain ahli majlis - keanggotaannya juga perlu dilucutkan dan tindakan disiplin harus dikenakan terhadap beliau ekoran sifat kepimpinan yang ditonjolnya yang tidak menyerupai contoh seorang pemimpin.
"Kami dari Wanita Keadilan juga mahu pihak berkuasa agar menyiasat kes ini sedalam-dalamnya di mana wanita dijadikan mangsa serta diperalatkan oleh sesetengah individu untuk kepentingan tanpa mengira latar belakang politik," kata Zuraida sambil menggesa pihak yang bersalah supaya dibawa ke muka keadilan.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment