Persatuan, artis sifatkan langkah haram penyanyi wanita tidak praktikal
PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia menyifatkan langkah mengharamkan persembahan penyanyi wanita di negeri Kedah sebagai tidak praktil.
Sehubungan itu, Presidennya, Freddie Fernandez berkata, persatuan tersebut berharap untuk bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi membincangkan isu berkenaan.
“Kami tengah berhubung dengan Datuk Seri Azizan supaya satu pertemuan antara persatuan dengan beliau dapat diadakan untuk membincangkan semula keputusan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan itu perlu untuk memberikan pandangan bagi pihak seniman kepada kerajaan negeri.
“Saya bagi pihak Karyawan tidak setuju dengan pengharaman itu kerana itu akan menjejaskan periuk nasi artis-artis kita,” ujar beliau.
Menurut Freddie, pengharaman bagi penyanyi perempuan untuk mengadakan persembahan itu adalah tidak adil untuk mereka.
“Ini tidak adil bagi mereka (penyanyi) yang bergantung kepada bidang ini, mereka sepatutnya bebas untuk membuat persembahan di mana-mana negeri,” katanya.
Beliau berharap Azizan akan menimbang semula keputusan untuk mengharamkan seratus peratus persembahan penyanyi perempuan di Kedah.
Kelmarin, exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh menyatakan tiada kelulusan permit hiburan akan diterima di negeri berkenaan.
Freddie bertambah kenyataan Dr Ismail adalah lebih ditujukan kepada orang Islam sahaja.
“Itu lebih kepada artis (yang beragama) Islam sahaja tetapi macam mana dengan artis yang bukan Islam? Diharamkan ke dibenarkan?”
“Sebelum ini, kami banyak membuat persembahan di Kedah jika diharamkan maka kami akan mengalami kerugian yang banyak,” ujarnya.
Mengenai kenyataan PAS yang menyatakan persembahan hiburan akan memberikan kesan negatif golongan remaja adalah sangat subjektif, beliau berkata: "“Jangan copkan bidang hiburan dengan kegiatan negatif, ini adalah tidak adil".
“Kami hanya mainkan muzik sahaja dan apa salah mendengar muzik dan menghayati orang menyanyi?”katanya.
Sementara itu, artis terkenal Ziana Zain telah melahirkan perasaan sedih dengan sekatan-sekatan terhadap artis-artis yang hanya berniat untuk mencari makan.
“Masing-masing (kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan pembangkang) mempunyai cara memerintah yang berlainan, tetapi apa yang kami harap adalah berikan kelonggaran bagi kami untuk mencari rezeki,” katanya.
Ziana tidak menafikan kebenaran kenyataan Dr Ismail yang menyatakan suara juga merupakan aurat untuk wanita tetapi sebagai artis, menyanyi merupakan kerjaya mereka jika terdapat banyak sekatan dikenakan adalah susah untuk mereka menyara hidup mereka.
“Itu (suara sebagai aurat) saya akui, tetapi itu adalah antara kita dengan Allah. Duit yang kita dapat kita boleh tolong orang yang susah dan hantar mak kami pergi mengerjakan Haji,” ujarnya.
Selain Ziana, Noryn Aziz yang juga merupakan salah seorang bintang terkenal di Malaysia juga berharap agar periuk nasi mereka sebagai artis tidak disekat.
“Saya rasa ini akan menyusahkan kami untuk mencari rezeki, ini (bidang hiburan) adalah periuk nasi kami,” katanya.
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment