AMMAN 28 Sept. – Agensi perisikan Israel, Mossad didakwa terlibat dalam serangan bom berani mati menggunakan kereta di Damsyik yang meragut 17 nyawa, semalam.
Seorang penulis kolum dalam akhbar separa rasmi Jordan, Al-Dustur menulis yang insiden itu adalah satu konspirasi Israel yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Ia dilancarkan bagi mewujudkan kekacauan yang seterusnya membolehkan kelahiran pembangkang yang mendapat tajaan Israel dan AS.
“Mereka mahu menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad yang dilihat oleh AS dan Israel sebagai batu penghalang terhadap rancangan jahat mereka di rantau ini,” jelas kolumnis itu, Hashem al-Khaledi.
Tanpa sebarang dakwaan spesifik, akhbar rasmi Syria iaitu Ath Thawra hari ini menyifatkan insiden sebagai “keganasan yang dirancang di luar negara” dan dalangnya telah memasuki sempadan untuk melaksanakannya.
“Keselamatan Syria adalah ketat tetapi rantau ini penuh dengan pengganas.
“Kami perlu mempertahankan sempadan bagi mengelakkan pencerobohan pengganas, letupan dan cubaan sabotaj,” jelas akhbar itu lagi.
Akhbar Al-Watan yang berhubung rapat dengan kerajaan pula menyatakan bahawa senarai pihak yang enggan membenarkan Syria dalam keadaan selamat dan aman adalah panjang dimulai dengan Israel yang menyebarkan maklumat dan menubuhkan militia di beberapa negara jiran yang akhirnya menggambarkan agama Islam secara salah.
Dakwaan-dakwaan ini dibuat setelah akhbar-akhbar Israel membuat pelbagai tuduhan seperti “rejim yang membela ular keganasan kini diancam oleh racun ular tersebut.” – AFP
No comments:
Post a Comment