04 September 2008

Celupar Ahmad bukan disengajakan - Abdullah

PM: Ahmad tidak boleh sembunyi...

Perdana Menteri berkata, permohonan maaf Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tindakan yang wajar namun masyarakat masih memerlukan permohonan maaf daripada Datuk Ahmad Ismail sendiri untuk menjernihkan semula keadaan.

"Jadi saya cuba hubungi dia tetapi tak dapat lagi dan pemberita pun cuba, saya tahu," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Dia akan kata itu bukan niatnya tapi kata orang, apa yang cakap dah tercakap, itu masalahnya. Pepatah Melayu berkata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya," kata perdana menteri.

Abdullah berkata, beliau pasti ketua Umno bahagian Bukit Bendera, akan tampil untuk memberi kenyataan kerana "tiada tempat untuk beliau bersembunyi".

"Mana dia nak `pi. Sekurang-kurangnya apabila saya ke Pulau Pinang, pasti saya akan berjumpa dia juga," katanya kepada pemberita hari ini.

Abdullah diminta mengulas mengenai desakan supaya Ahmad memohon maaf kerana membuat kenyataan yang telah menyinggung perasaan masyarakat Cina negara ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kementerian Kewangan di Putraya, demikian menurut laporan Bernama.

Najib telah memohon maaf secara terbuka bagi pihak Umno dan berharap supaya orang bukan Melayu tidak terganggu dengan kenyataan Ahmad yang berbentuk peribadi itu.

Pandangan peribadi

Menurut Abdullah, kaum bukan Melayu tidak harus menganggap kenyataan Ahmad bahawa orang Cina adalah pendatang dan tidak layak mendapat hak sama seperti Melayu sebagai dasar Umno kerana itu adalah pandangan peribadi.

"Dalam keluarga Umno yang begitu ramai akan adalah ahli-ahli Umno yang akan menyuarakan pandangan seperti itu," katanya.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata kenyataan itu bukanlah satu yang disengajakan.

"Ia mengenai kedatangan orang bukan Melayu pada masa dulu, macam mana kedudukannya dan berubah pula setelah sama-sama bermuafakat dan menuntut kemerdekaan, setelah diadakan kontrak sosial," katanya.

Mengulas lanjut Abdullah berkata, Umno sangat berpegang kepada pemuafakatan dan kerjasama erat sesama parti komponen yang lain, justeru walaupun mungkin timbul sedikit kesilapan, persoalan pokok yang harus diambil kira ialah kesungguhan pemimpin-pemimpin parti komponen yang sentiasa memainkan peranan mereka dengan baik.

"Jika ada yang pasang kamera tersembunyi (di bilik mesyuarat kabinet), mereka akan terkejut dan rasa lega dengan kesungguhan kita membincangkan sesuatu perkara termasuk isu ini dalam kabinet," katanya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment