MACHANG 1 Sept. — Bapa kepada salah seorang anak Kapal Tangki, MT Bunga Melati milik MISC yang ditawan lanun di pesisir pantai Somalia, 19 Ogos lalu, Mamat Othman, gembira kerana syarikat perkapalan itu berusaha membebaskan anak kapalnya.
Mamat, 79 berkata kedua-dua kakitangan MISC yang datang ke rumahnya semalam menyampaikan berita gembira tentang maklumat terkini keadaan anaknya Salwadi Mamat, 31, dan 38 rakan yang kini dalam perundingan untuk pembebasan.
“Dengan penjelasan itu rasa senang sikit hati, tidaklah sebagaimana di awal kejadian, macam-macam berita sampai, rasa bimbang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau pegawai MISC sedang membuat rundingan dan memerlukan sedikit masa bagi memastikan perundingan yang dijalankan itu lancar dan semua anak-anak kapal berada dalam keadaan selamat.
“Pak Cik runsing dengar macam-macam orang cerita orang kata, maklumlah dengar sahaja nama lanun terbayang macam-macam kejahatannya, tapi bila kakitangan MISC yang beritahu rasa lega sikit hati,” katanya.
Beliau berkata maklumat itu amat penting baginya kerana kedudukan yang jauh dan mustahil untuknya sampai melihat dengan sendiri.
Pada kejadian itu, 39 anak kapal milik MISC dalam perjalanan dari Dumai, Indonesia ke Belanda ditawan lanun di persisiran pantai Somalia.
Menurut Mamat beliau dan keluarganya sentiasa berdoa dan solat hajat agar anaknya dan rakan-rakannya selamat dan pulang ke tanah air dalam masa terdekat tanpa sebarang gangguan kesihatan.
Isterinya yang juga ibu tiri Salwadi, Rokiah Mat Deris, 72 berkata beliau bimbang dengan kesihatan suaminya yang sering terganggu sejak berita penahanan Salwadi tetapi kini suaminya berubah ceria.
Beliau percaya MISC dapat menangani dengan bijak dan langkah-langkah perlu dilakukan bagi memastikan anaknya selamat dan dapat pulang ke tanah air sebelum Syawal.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment