14 September 2008

Bagi mengelak bertemu wakil Pakatan, MP BN 'dilarikan' pula ke Hong Kong

Delegasi BNBBC Singgah Di Hong Kong

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Delegasi Anggota Parlimen dari Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang menjalani sesi lawatan sambil belajar di Taipei sejak beberapa hari lepas, kini berada di Hong Kong.

Seorang daripada anggota delegasi itu berkata mereka melanjutkan tempoh kunjungan mereka di kota itu untuk duduk berbincang mengenai beberapa isu, tapi menafikan ia mempunyai sebagai kaitan dengan spekulasi kononnya anggota parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak, tidak ada yang menyeberang. Saya percaya ketika ini sudah jelas bahawa pembangkang gagal dalam misi terdesak mereka untuk mempengaruhi kami menyertai mereka," kata naib pengerusi BNBBC dan Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi kepada Bernama ketika dihubungi di Hong Kong hari ini.

"Tidak ada dari kalangan anggota kami menemui sesiapa dari mereka di Taipei. Kami makan malam dengan konsulat Malaysia di Taipei semalam, dan apabila kami sampai ke hotel, hari sudah lewat.

"Saya percaya semua orang tidur awal kerana terpaksa berada di lapangan terbang pukul 3 pagi untuk ambil penerbangan pukul 6 pagi keluar dari Taipei," katanya ketika merujuk kepada tindakan lima daripada anggota parlimen PR berlepas ke Taipei untuk menemui mereka bagi memujuk mereka menyertai PR.

Beliau berkata delegasi mereka berjaya keluar dari Taipei pagi ini sejurus sebelum lapangan terbang Taipei ditutup ekoran bencana Taufan Sinlaku.

"Kami sepatutnya kembali ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pukul 9 pagi hari ini, tapi ia ditukar kepada penerbangan lebih awal selepas dinasihati ekoran kemunculan taufan Sinlaku," katanya.

Beliau berkata kira-kira 38 Anggota Parlimen bersama beliau ketika ini di Hong Kong, manakala selebihnya masih terkandas di Taipei kerana mereka tidak dapat menaiki penerbangan awal untuk keluar dari Taipei.

Ketua bahagian Umno Batu Pahat itu bagaimanapun berkata perbincangan akan menyentuh pelbagai isu, terutama mengenai kepentingan BN dalam lanskap politik negara dan bagaimana anggota parlimen dari kerajaan boleh memainkan peranan lebih baik dalam meningkatkan perpaduan negara.

"Selain itu ini adalah peluang terbaik bagi kami saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik memandangkan sebelum ini kami tidak dapat berbuat demikian sejak pilihan raya lepas," katanya.

Sementara itu pengerusi BNBBC Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau ada dimaklumkan oleh seorang anggota delegasi berhubung usaha PR menemui mereka.

"Dia beritahu yang wakil PKR menemui cara untuk berhubung dengannya, tapi dia enggan bertemu dan berbincang dengan mereka," kata Tiong yang kini berada di China ketika dihubungi hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment