Nikmat Ramadan Aziz dan Dhia
BULAN puasa yang mulia ini biasanya lebih seronok diraikan bersama-sama orang tersayang lebih-lebih lagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Namun tidak bagi pengarah dan produser terkenal Aziz M. Osman lantaran jarak yang memisahkan dia dan isterinya, Nor Radhiah Ramli, 22.
Isterinya yang baru dinikahinya pada 16 Ogos lalu kini sedang bertugas sebagai guru subjek Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu.
Meskipun begitu, hubungan jarak jauh ini, kata Aziz, akan berakhir juga pada hujung tahun ini apabila isterinya akan mula mengajar di Kuala Lumpur kelak.
"Sejak orang kata masih hangat bercinta ni, jarak dari Kuala Lumpur (KL) ke Kuala Terengganu (KT) saya ibaratkan seperti dari Sri Pentas, Bandar Utama ke Taman Tun Dr. Ismail saja.
"Semuanya tak mustahil bagi kami untuk berjumpa. Memandangkan Dhia pun sibuk dengan tugasannya di sana. Jadi, kalau saya ada masa terluang kami akan ulang-alik seperti mana kami lakukan ketika pulang dari umrah dulu.
Aziz dan Dhia ketika menghadiri Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini. (Foto The Star)
"Sejak Dhia datang ke KL pada Rabu lalu, kami sempat bersahur, berbuka puasa dan melakukan solat jemaah bersama-sama. Kemudian selepas tiga hari di KL, saya hantar dia pulang ke KT," beritahu Aziz yang sedang sibuk membuat Sitkom Fara musim ketiga yang disiarkan di TV3.
“Dugaan kami ibarat garam di laut, asam di darat. Maksudnya, kontras antara karier kedua-duanya dan suasana kami iaitu seorang di KL dan seorang lagi di KT.
“Lebih-lebih lagi saya di sini bekerja dengan orang-orang seni, kenal dengan artis manakala dia di sana pula dikelilingi oleh cikgu sekolah dan murid-murid. Apabila dipertemukan itulah yang menariknya.
“Cabarannya adalah masing-masing cuba mengenali dunia antara satu sama lain kerana antara kami tidak tahu dunia yang kita ingin teroka. Itu yang membuatkan sesuatu perkara itu lebih mencabar.
“Alhamdulillah, kematangan saya membuatkan Dhia berasa selesa dengan saya dan bukanlah memberikan kejutan kepada dia. Tidak bermakna saya hidup dalam dunia artis ini maka saya dedahkan 100 peratus dunia ini kepada dia. Saya mendirikan rumah tangga ini kerana saya mahu beristeri dan bukannya mencari pelakon filem atau artis.
“Benda tu adalah peribadi bagi saya dan tidak semestinya saya ingin mendedahkan dia kepada dunia seni ini. As long as saya dah berumah tangga ini, yang penting saya nak tahu yang saya ada isteri yang tunggu saya di rumah selepas dia tinggal bersama saya di KL selepas tiga bulan nanti untuk membina rumah tangga yang sempurna.
“Bagi saya dunia artis ini hanyalah sebuah karier dan akhirnya kami sama juga, masing-masing adalah manusia biasa serta tiada bezanya,” tutur Aziz.
Aziz turut menambah tentang hubungan antara Dhia dan anak-anaknya yang tidak langsung timbul sebarang masalah.
“Alhamdulillah, Dhia rapat juga dengan anak-anak saya. Baru-baru ini, kami sempat berbuka puasa bersama-sama dan anak-anak saya pun dah panggil dia ‘umi’. Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik," kata Aziz
Pasangan ini sempat berbulan madu di Bali, Indonesia sambil Aziz melakukan kerjanya bersama dua pengarah Afdlin Shauki, Mamat Khalid untuk filem terbaru mereka iaitu Tiga Jalan termasuk pelakon dan pengarah Hans Isaac.
Selain itu, Aziz juga membawa isterinya berjumpa dengan bapa saudara dan saudara-maranya di Singapura sambil makan angin di sana.
“Semasa nikah hari tu, majlis tersebut terhad kepada orang-orang tertentu. Selepas majlis nikah tu barulah saya bawa isteri berjumpa famili di KL,” kata Aziz.
Dalam pada itu, isteri Aziz yang mesra dengan panggilan Dhia berkata usia muda bukan penghalang untuk dia kahwin.
“Saya masih boleh mengikut rentak dia. Walaupun dia pengarah, tetapi sebenarnya dia macam orang biasa juga,” ulas Dhia ringkas.
Asalnya, Dhia tidaklah terlalu meminati Aziz tetapi dia ada juga terbaca cerita-cerita tentang suaminya itu sebelum ini.
Menurut Dhia, ada sesuatu perkara yang membuatkan dirinya nekad untuk menerima Aziz selepas mereka dipertemukan dalam tempoh perkenalan yang singkat sebaik kembali dari mengerjakan umrah di Mekah.
“Saya nekad untuk menerima dia selepas keluarga saya bersungguh-sungguh dalam hal ini. Mereka pun banyak memberi nasihat kepada saya. Orang kata, orang tua ni boleh nampak karektor seseorang itu dan nampak Abang Aziz ni baik.
“Saya pun nampak dia bersungguh-sungguh dan pandai ambil hati. Waktu tu memang hati saya dah terpikat dengan dia.
“Setakat tiga minggu berkahwin dengannya saya rasa sangat bahagia. Alhamdulillah, semuanya ok sebab dia baik. Dengan anak-anak pun ok dan saya tidaklah berasa janggal sangat.
“Memang saya tak sangka dan tidak terfikir langsung untuk bergelar isterinya lebih-lebih lagi berkahwin dengan orang terkenal sepertinya. Sudah jodoh, jadi saya terima sahaja,” beritahu Dhia dalam nada ceria.
Nikmat berpuasa Aziz dan Dhia
Perkahwinan mereka sudah memasuki usia kira-kira tiga minggu dan menyambut bulan puasa pada saat-saat ini bagaikan suatu nikmat bagi setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga termasuk Aziz dan Dhia.
“Seperti yang kita ketahui nikmat bersama isteri ketika bulan Ramadan ini adalah makan bersama, bersahur bersama, beribadat bersama. Tetapi ikutkan saya sebenarnya dah ‘lost contact’ benda ni sejak dua tahun lalu.
“Tetapi mungkin orang kata saya baru sahaja bercerai setahun lalu tetapi sebenarnya proses berpisah tu memakan masa kira-kira dua tahun.
“Jadi, nampaknya saya kini kembali kepada asas seorang yang sudah berumah tangga dan menjadi seorang suami. Pada hari keempat kita puasa, barulah saya berpeluang untuk berbuka puasa bersama isteri kerana sebelum itu dia mengajar di Kuala Terengganu, Terengganu.
“Selama dua tahun, saya berbuka puasa dan bangun sahur sendiri tetapi kali ini ada isteri yang telefon menanyakan dah makan ke belum, dah bersahur atau tidak.
“Macam baru-baru ini saya terbabas tidur. Dia dah kejutkan saya pada pukul 4 pagi tetapi sebab saya tertidur semula, nasib baiklah dia kejutkan balik dalam pukul 5.30, kalau tak meranalah puasa saya hari tu,” ujar Aziz.
Bercerita tentang kelainan Nor Radhiah menyambut puasa pada tahun ini, katanya, kalau dulu dia menjalankan ibadat tersebut bersama-sama keluarga tetapi kali ini berubah sama sekali.
"Memang lain sebab dulu dengan famili tetapi sekarang dengan suami dan anak-anak. Namun, setakat ini saya belum berpeluang untuk memasak," luah Dhia yang sebelum ini pernah menuntut di Universiti Darul Iman atau KUSZA, Kuala Terengganu.
Katanya lagi, dia akan cuba untuk belajar memasak masakan Jawa yang digemari Aziz.
Bertanya tentang anak, kata Dhia, “Tentang anak, kami belum terfikir lagi dan nak enjoy dahulu sebagai suami isteri. Lagipun, saya dah ada ramai anak. Insya Allah, kalau ada rezeki dalam masa terdekat ini kami terima dengan hati terbuka.”
Menyentuh tentang sambutan Hari Raya yang bakal menjelma tidak lama lagi, kata Aziz, dia dan isterinya akan menyambut Hari Raya pertama dan kedua di KL. Kemudian mereka akan bertolak untuk beraya di Terengganu pula pada petang raya kedua itu.
www.mstar.com.my
Pundeklah...belum jadi apa2 memang lah sume cantik...kahwin masa dia belum lepas edah tu apa cerita?
ReplyDelete