Kampung ‘rahsia’ diserbu
KUALA LUMPUR: Kewujudannya di sekitar Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam di sini, sebelum ini sukar dikesan, bagaimanapun akhirnya Jabatan Imigresen membongkar ‘perkampungan toyol’ didiami ratusan warga asing, awal pagi semalam.
Kampung haram terbabit yang diduduki warga asing dari Indonesia dan Bangladesh mulanya sukar dikesan berikutan berselindung di sebalik tapak projek perumahan dan rumah kongsi pekerja binaan.
Bagaimanapun, hasil risikan, perkampungan haram terbabit digempur sepasukan 23 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan jam 1.30 pagi semalam.
Gerakan Ops Kutip itu turut dibantu 29 anggota Rela, sembilan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan, Mohd Khamde Khuzaini Tukiman berkata operasi itu mengalami kesukaran berikutan kawasan perkampungan terbabit agak luas selain dikelilingi belukar dan semak tebal.
“Berikutan itu, pegawai penguat kuasa imigresen mengepung pintu masuk dan beberapa laluan rahsia yang dipercayai dijadikan jalan khas untuk melarikan diri jika kawasan terbabit diserbu.
“Siasatan sebelum itu mendapati perkampungan terbabit turut mempunyai beberapa rumah kongsi bagi pekerja binaan di kawasan berhampiran,” katanya.
Bagaimanapun, bilangan rumah kongsi itu semakin bercambah kerana ramai pendatang asing datang ke situ untuk tinggal secara haram.
“Selepas mendapati kebanyakan penghuni sudah tidur, pegawai penguat kuasa imigresen segera menyerbu perkampungan terbabit yang diduduki hampir 500 pendatang asing.
“Kebanyakan warga asing terbabit yang menghuni bilik sempit tidak sempat melarikan diri lalu menyerah diri. Ada juga penghuni didapati bertempiaran lari ke arah belukar berhampiran,” katanya.
Menurutnya, seorang lelaki Indonesia yang terdesak bertindak agresif dengan menyerang seorang pegawai penguat kuasa imigresen.
“Dia yang berusia 30-an cuba menggigit pegawai penguat kuasa itu diberkas rakan setugas lain yang segera memberi bantuan.
“Lelaki terbabit yang berasal dari Flores, Indonesia, digari sebelum siasatan mendapati dia tidak mempunyai dokumen perjalanan sah memasuki negara ini,” katanya.
Hasil operasi itu, 227 warga asing yang mendiami kawasan terbabit ditahan untuk pemeriksaan.
“Kami juga mendapati 55 lelaki kebanyakannya warga Indonesia tidak memiliki pasport memasuki negara ini dan sembilan lagi tinggal melebihi had ditetapkan.
“Selain itu, 13 wanita warga asing ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini. Semua 77 warga asing yang diberkas itu dibawa ke depot tahanan sementara imigresen sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Menurutnya, semua suspek boleh didakwa mengikut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan enam sebatan
“Saya memberi amaran kepada kepada pemaju projek pembinaan supaya memastikan rumah kongsi yang disediakan untuk pekerja mereka tidak menjadi sarang persembunyian pendatang asing tanpa izin.
“Pemaju pembinaan turut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen Perkara 55E, Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment