23 September 2008

Apa tunggu lagi Anwar | Tidak mustahil saudara pula selepas Raja Petra

1 Oktober sasaran baru Pakatan, kes Anwar esok

PETALING JAYA: Selepas dua permintaan Pakatan Rakyat ditolak Perdana Menteri minggu lalu, kini perikatan pembangkang itu meletakkan tarikh sasaran yang baru - 1 Oktober ini - cuba merealisasikan pelan menukar kerajaan.

Pada 16 September lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menolak permintaan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diadakan pertemuan bagi membincangkan keadaan politik semasa negara dan membincangkan proses peralihan kerajaan secara aman, dan syor diadakan sidang khas Parlimen hari ini, yang dikemukakan dua hari kemudian.

Sasaran 16 September dan 23 September sudah pun berlalu.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat akan terus memastikan peralihan kuasa akan berlaku pada tarikh tersebut walaupun sidang Parlimen tergempar bagi membolehkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri ditolak.

"Kita sasarkan peralihan kuasa secara aman akan berlaku sebelum hari raya nanti.

"Ataupun satu persefahaman ke arah itu (peralihan kuasa) akan dapat dicapai pada 1 Oktober nanti," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Pakatan Rakyat sedang mengatur satu rundingan dengan wakil Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai perlihan kuasa antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

"Perdana Menteri enggan menemui kita, jadi kita akan berusaha untuk berurusan dengan pegawai-pegawainya untuk berbincang.

"Kami percaya melalui perbincangan kita dapat membentuk kerajaan dalam keadaan aman," katanya.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat mempunyai perancangan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agung bagi memohon perkenan membentuk kerajaan baru, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan cara terbaik.

"Sebelum kita mengadap Yang di-Pertuan Agung, lebih baik kita selesaikan dengan rakyat biasa dahulu," katanya.

Anwar mengumumkan saran Pakatan Rakyat membentuk kerajaan menjelang 16 September pada 1 April lalu.

Esok, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan mendengar hujah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes liwat terhadap Anwar ke Mahkamah Tinggi.

"Esok mahkamah akan mendengar hujah kedua-dua pihak untuk mementukan permintaan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada mahkamah akan membuat keputusan esok ataupun sebaliknya kerana ia bergantung kepada mahkamah selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak.

"Sukar untuk dikatakan sekarang... kami ada banyak perkara untuk dihujah," katanya.

Pada 10 September lalu, Hakim S.M. Komathy Suppiah menetapkan esok ekoran bantahan terhadap permohonan itu oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah.

Anwar, 60, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen mengaku tidak bersalah pada 7 Ogos lepas terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Anwar kini dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000.

www1.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment