27 September 2008

Abdullah buat kerosakan kepada negara? - Tengku Razaleigh Hamzah

Tangguh AGM: Ku Li kecam, sifatkan "permainan kanak-kanak"

KOTA BAHARU: Bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengecam keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti yang menangguhkan pemilihan sehingga Mac depan dengan menyifatkannya sebagai "permainan kanak-kanak."

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu yang sebelum ini pernah menawarkan diri mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding jawatan Presiden berkata, beliau masih kekal dengan pendirian mahu menawarkan kepimpinan alternatif kepada Umno dan negara.

Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap akan bertanding tidak kira bila pemilihan Umno diadakan.

"Kini kita sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai prasarana bertaraf dunia dan politik negara dunia ketiga dengan pemimpin-pemimpin menjadikan negara sebagai sebuah republik pisang," kata beliau pada sidang media di sini mengulas keputusan mesyuarat khas MT pagi ini.

Tengku Razaleigh yang pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987 tetapi tewas di tangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata:

"Saya fikir saya bercakap untuk negara apabila saya mengatakan bahawa saya rasa malu ekoran permainan kanak-kanak tidak habis-habis oleh dua pemimpin dewasa ketika berhadapan dengan tanggungjawab penting buat negara, tidak sedar soal perundangan, tidak sedar kerosakan yang mereka sebabkan kepada negara."

Kata beliau, berbanding memberikan pelan ekonomi nasional ataupun sebarang bentuk pembaharuan yang lain sejak 8 Mac lalu, kedua-dua pemimpin berkenaan hanya menyediakan "pelan peralihan kuasa" yang bertujuan menyelamatkan mereka daripada berhadapan dengan pemilihan parti.

Tegas bekas Menteri Kewangan itu, tindakan menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan menunjukkan parti meneruskan ketidaktentuan iklim politik dan memberikan ruang kepada pembangkang 'menyerang' kerajaan.

Beliau merujuk kedua-dua pemimpin berkenaan sebagai Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Dengan itu kata beliau, mereka hanya mengutamakan kepentingan kerjaya politik masing-masing berbanding nasib negara khususnya ketika era yang penuh mencabar ini.

www1.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment