06 September 2008

70 Peratus ahli parlimen BN akan dibawa ke luar negara pada 7 - 19 Sept atas alasan lawatan sambil belajar di bulan puasa

Program pemukiman bukan halang wakil rakyat BN

KOTA KINABALU 5 Sept. - Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) menafikan bahawa program pemukiman di luar negara kelab itu bertujuan menghalang wakil rakyat BN menyertai pembangkang yang diuar-uarkan akan menubuhkan kerajaan baru pada 16 September ini.

Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin menegaskan, tuduhan tersebut tidak benar sama sekali dan pada masa yang sama, hanya 70 peratus Ahli Parlimen yang akan menyertai program itu.

''Program ini tidak ada kena mengena dengan dakwaan pembangkang yang kononnya mengatakan akan ada Ahli-ahli Parlimen BN melompat parti sebelum 16 September ini.

''Program ini bertujuan untuk pendidikan dalam bidang pertanian dan BNBBC pun belum memutuskan siapa akan pergi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, turut menafikan perkara yang sama dan memberitahu program yang dirancang dari 7 hingga 19 September itu adalah untuk lawatan sambil belajar.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, program itu tidak harus dipolitikkan kerana tidak ada kena mengena dengan dakwaan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru pada tarikh tersebut.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen BN Sabah ketika dihubungi menyatakan ketidaksediaan mereka untuk mengikuti program tersebut.

Antaranya ialah Datuk Anifah Aman (Kimanis), Datuk Abdul Ghafur Salleh (Kalabakan), Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) and Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau).

Alasan yang diberikan oleh mereka ialah sibuk dengan program masing-masing dan pada masa yang sama menyatakan ia tidak sesuai kerana dibuat pada bulan puasa.

Ahli-Ahli Parlimen berkenaan turut menafikan sekeras-kerasnya keengganan mereka mengikuti program tersebut mempunyai kaitan dengan kenyataan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan baru.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment