‘Tetak macam potong sayur’
SUBANG JAYA: “Macam potong sayur...langsung tidak ada hati perut,” demikian kata seorang pengusaha gerai burger, Shamsuri Salem, 39, selepas melihat kejadian seorang lelaki ditetak sehingga mati di hadapannya, malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian jam 9.30 malam di hadapan sebuah restoran di Jalan 14/1L, USJ14 di sini, mangsa lelaki berusia 43 tahun bersama dua rakannya menemui penyerang terbabit sebelum berlaku pergaduhan dan berakhir dengan pembunuhan kejam itu.
Dua lagi rakan mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.
Shamsuri berkata, dia dan beberapa lagi pelanggan yang menunggu pesanan melarikan diri sejurus melihat aksi penyerang tidak dikenali menetak mangsa berkali-kali menggunakan parang panjang.
“Sebelum ditetak mangsa dilihat cuba melarikan diri, tetapi dapat dikejar penyerang terbabit yang kemudian menetaknya tanpa belas kasihan.
“Mangsa cuba mempertahankan diri dan menahan serangan itu dengan tangan, tetapi rebah apabila satu daripada tetakan itu mengenai kepalanya,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali penyerangnya kerana beberapa saksi melihat mereka berbual sebelum kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Choo Teck Boon berasal dari Melaka, parah di kepala serta kedua-dua belah tangan akibat tetakan dan mati di tempat kejadian.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment