BPR ada bukti kukuh tahan 2 Exco
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertindak menahan dua Exco Kerajaan Negeri Perak kerana disyaki terlibat dengan jenayah rasuah dan bukannya konspirasi politik atau badan itu bersekongkol dengan mana-mana pihak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menegaskan, BPR mempunyai bukti kukuh dalam kes itu malah suspek ditangkap ketika satu urusan penyerahan sejumlah wang sedang dijalankan.
Oleh itu katanya, kes itu adalah jenayah rasuah yang benar-benar berlaku dan bukannya dirancang untuk memenuhi tuntutan politik pihak tertentu.
“Saya dukacita kerana BPR dituduh berkonspirasi dan sekongkol dengan parti pemerintah. Kes ini benar-benar berlaku, bukan cubaan (dirancang) lagi.
“Apabila tangkap orang dia (parti pembangkang), mereka bising. Mereka janji nak hapus rasuah, sepatutnya bantulah kita, bukan tuduh perkara yang negatif.
“Takkan wang dah diterima, kita minta tunggu dulu (tangkap) kerana pilihan raya kecil, aduan sudah diterima, BPR perlu bertindak,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Suruhanjaya Bebas Antirasuah – Kearah Membanteras Dengan Efektif Rasuah dan Meningkatkan Integriti di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.
Forum tersebut dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Ahmad Said mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam, bahawa dua anggota Exconya yang ditahan oleh BPR telah dianiaya.
Beliau menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi dalang di sebalik penahanan dua anggota Exconya tersebut.
Menurut Ahmad Said, agensi itu telah membuat banyak tangkapan sejak kebelakangan ini kerana kesalahan rasuah iaitu daripada pegawai tinggi kerajaan, pegawai kanan polis sehinggalah kepada ahli politik.
“Banyak tangkapan sebelum ini (beberapa minggu lalu) tapi tidak ada yang komen, apabila tangkap Exco Perak, mereka tuduh macam-macam,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes penangkapan anggota Exco Perak itu adalah bukti usaha berterusan BPR dalam membanteras rasuah tanpa mengira siapa dan masa.
Mengenai dakwaan projek perumahan bernilai RM180 juta yang dikatakan di Seri Iskandar itu sebenarnya tidak wujud, beliau berkata: “Biarlah mahkamah menentukan perkara itu kerana saya tidak mahu berlaga (bergaduh) dengan sesiapa. Biar rakyat menilainya.”
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment