Dr Ismail: Sumpah Saiful penuhi syarat
Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Ismail Ibrahim hari ini berkata bersumpah dengan nama Allah sambil memegang al-Quran tidak wajar disamakan dengan sumpah orang Kristian.
Katanya, yang penting, apabila seseorang itu melafazkan sumpah mengikut cara Islam, ia adalah dilakukan atas akidah dan perbuatan memegang al-Quran atau sebaliknya, bukan menyentuh soal akidah.
Oleh yang demikian, Dr Ismail dipetik oleh Bernama sebagai berkata, sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan (foto), bekas pembantu khas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memenuhi syarat sumpah mengikut Islam antara seorang hamba Allah dengan penciptanya.
"Sumpah adalah antara dia dengan Allah, kalau dia melakukan dengan ikhlas, orang lain tidak harus mempertikaikannya," kata beliau ketika dihubungi bagi mengulas polemik ulama mengenai sumpah Mohd Saiful yang mendakwa dia telah diliwat oleh Anwar.
Dr Ismail berkata Mohd Saiful sudah memenuhi syarat sumpah apabila melafazkan sumpahnya dengan menyebut "Wallahi, Wabillahi, Watallahi" dan tidak timbul sama sekali sama ada sah atau tidak sah.
Katanya, sama ada Mohd Saiful memegang al-Quran atau tidak bukan soal pokok dan tidak harus dipertikaikan.
"Jika kita makan menggunakan sudu dan garpu seperti orang Kristian, tidak pula menjadikan kita Kristian. Ia bergantung kepada niat kita," tambahnya.
Proses undang-undang
Katanya, Malaysia masih mengamalkan undang-undang sivil dan kes liwat membabitkan Mohd Saiful dan Anwar tetap berjalan mengikut proses undang-undang itu.
Dr Ismail berkata adalah perkara biasa ulama-ulama berbeza pendapat.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahankan pendiriannya bahawa sumpah mubahalah tidak semestinya dilakukan di mahkamah sebaliknya boleh dilakukan di luar mahkamah.
Katanya, kepelbagaian pandangan ulama berkaitan sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful menyebabkan orang ramai keliru, lantas ada orang menyelewengkan isu itu.
Mufti itu berkata banyak pihak yang memberi pandangan mengenai perkara itu dan pandangan yang dikeluarkan tentulah berbeza-beza.
Ada yang berpendapat bahawa sumpah perlu dilakukan di Mahkamah Syariah dan memerlukan kehadiran empat saksi.
Kes liwat membabitkan Anwar menjadi isu hangat di Permatang Pauh dan pihak tertentu menyebarkan risalah mengandungi pandangan ulama-ulama mengenai tindakan Mohd Saiful melafazkan sumpah mubahalah.
Hukum qazaf
Risalah terbabit turut memuatkan pandangan Presiden Universiti Cordoba Prof Dr Taha Al Jabir Al-Alwani yang menyokong kes itu dirujuk mengikut hukum qazaf.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Mohamad Radzi Othman berkata tidak harus timbul pertikaian tentang sama ada sumpah mubahalah dilakukan di dalam masjid atau di luar.
"Mubahalah bermaksud niat untuk membenarkan ucapan dan alam kes (Mohd) Saiful, dia mendakwa diliwat dan oleh demikian dia bermubahalah sebagai cara membenarkan ungkapannya dan dia mahu orang menerima ungkapan itu," katanya.
"Dalam Islam ia boleh dilakukan di mana-mana, tidak disyaratkan tempatnya di masjid tetapi jika dibuat dalam masjid pun perbuatan itu tidak salah," katanya.
Tentang Mohd Saiful memegang al-Quran semasa bersumpah, Prof Mohamad Radzi berkata ia tidak salah kerana tindakan sedemikian bukan satu syarat untuk bermubahalah.
"(Mohd) Saiful memegangnya mungkin dalam keadaan terdesak dan untuk mendapat kekuatan untuk melakukan mubahalah itu. Ia tidak salah dan tidak harus dipertikaikan. Dia hendak supaya orang terima apa yang dia sumpahkan, itu sahaja," katanya.
Mengenai pandangan kes liwat harus diadili mengikut hukum zina, Prof Mohamad Radzi berkata bagi tuduhan zina, apabila seseorang menuduh orang lain melakukan zina, pembuktian memerlukan empat saksi sebab kes itu berat.
Ulama tak sependapat
"Tetapi kes liwat ini, ulama-ulama tidak sependapat sama ada ia boleh disamakan seperti zina atau tidak. Ada yang kata kes liwat tidak sama seperti zina, maka syarat meletakkan empat saksi itu tidak perlu," katanya.
Beliau berkata dalam hal kes liwat sudah menjadi macam kes biasa yang hanya perlu dua orang saksi dan tuduhannya juga tidak sama seperti zina di mana jika tuduhan itu tidak boleh dibuktikan, tertuduh tidak boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu bagi zina, hukumannya ialah 80 kali sebatan rotan.
Menyentuh pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din bahawa kes liwat Mohd Saiful merupakan kes li'an, beliau berkata hukum li'an hanya terpakai bagi kes suami isteri dan dalam kes liwat Mohd Saiful, ia tidak terpakai sama sekali.
Beliau menyarankan supaya ulama tampil memberi penjelasan pada orang ramai mengenai hukum-hukum ini.
"Saya lihat ramai yang keliru dengan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh orang yang dianggap mahir dan mengetahui tentang agama. Saya harap mereka menjelaskan sejauh mana yang boleh dan jangan pula menyebabkan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment