Terpulang Kepada Umat Islam Menilai Sumpah Saiful, Kata Najib
BUTTERWORTH, 16 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam menilai sendiri sumpah laknat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa beliau diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya Saiful memilih kaedah Islam untuk menebus maruah dengan melakukan sumpah laknat, dan wajarlah umat Islam menilai langkah yang diambilnya itu.
"Dalam sistem kita mana-mana individu yang dituduh boleh membersihkan diri atau maruah sama ada dengan cara Islam atau cara mahkamah, dan Saiful memilih cara Islam, dan (kini) terpulanglah pada rakyat menilai sumpah Saiful itu.
"Sejak awal lagi saya katakan isu sebenar yang berlaku ialah melibatkan antara Saiful dan Anwar, dan ini tidak ada kena mengena dengan BN (Barisan Nasional)," kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera Umno untuk pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh di sini hari Jumaat.
Mohd Saiful Bukhari Jumaat petang bersumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan bagi membuktikan dakwaannya diliwat secara paksa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas.
Sementara itu Anwar pula menyifatkan upacara bersumpah yang dilakukan bekas pembantunya itu sebagai gimik politik kotor UMNO untuk menjatuhkannya.
Anwar akan bertanding bagi merebut kerusi parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beliau akan ditentang oleh calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.
Esok adalah hari penamaan calon, yang akan berlangsung di Institut Perguruan Tuanku Bainun di Bukit Mertajam.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment