11 August 2008

Rusia kerah 10,000 lagi askar serang Georgia

TBILISI, Georgia 10 Ogos – Rusia menghantar 6,000 askar tambahan ke Georgia melalui jalan darat dan 4,000 lagi dengan kapal sebagai persiapan untuk menggempur wilayah bekas Kesatuan Soviet itu.

Ketua Jabatan Penerangan Kementerian Dalam Negeri Georgia, Shota Utiashvili berkata, Rusia menghantar askar tambahan itu beberapa jam lalu setelah menawan South Ossetia semalam.

Katanya, pesawat pejuang Rusia turut mengebom sebuah lapangan terbang tentera di luar bandar ini awal hari ini menyebabkan berlaku letupan kuat yang menggegarkan ibu negara Georgia itu.

Utiashvili berkata, tiga butir bom digugurkan ke atas lapangan terbang tentera milik kilang Tbilaviastroi, yang mengeluarkan jet pejuang Sukhoi Su-25 sejak zaman Kesatuan Soviet.

Sejak perang antara Georgia-Rusia itu meletus pada Jumaat lalu, seramai 2,000 telah terbunuh dan 30,000 yang lain menjadi pelarian.

Utiashvili juga berkata, Rusia telah memulakan operasi ketenteraan untuk menyerang gaung Kodori dalam wilayah Abkhazia, tetapi dinafikan oleh pihak Rusia.

Sementara itu, pihak pemisah di Abkhazia berkata, mereka telah menghantar 1,000 tentera ke kawasan itu yang dikawal oleh tentera Georgia sebagai kawasan strategik menghadap Laut Hitam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai pasukan pemantau antarabangsa di kawasan itu memberi amaran kemungkinan berlaku pertempuran kedua di barisan hadapan antara tentera Georgia dan Rusia.

“Operasi ketenteraan Rusia telah bermula. Pemindahan penduduk sedang dilakukan,” kata jurucakap kerajaan Raul Kiria.

Sementara itu, pihak pemisah Abkhazia mengisytiharkan wilayah itu diletakkan dalam keadaan berperang.

Abkhazia seperti South Ossetia telah keluar daripada pentadbiran Georgia pada awal tahun 1990-an.

– Reuters

No comments:

Post a Comment