MUAR: Ramai kakitangan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dikatakan tidak bekerja semalam, dipercayai takut ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kes sogokan membabitkan kelulusan pemeriksaan kenderaan.
Keadaan itu menyebabkan Puspakom di Parit Bakar dekat sini, sesak dengan berpuluh-puluh lori berikutan kekurangan kakitangan untuk membuat pemeriksaan.
Pemandu lori terbabit mula beratur seawal jam 7 pagi, namun selepas beberapa jam menunggu ramai meninggalkan premis itu selepas dimaklumkan pusat itu kekurangan pemeriksa kenderaan.
Keadaan sama dilaporkan berlaku di pusat pemeriksaan Puspakom Batu Pahat dan Johor Bahru.
Presiden Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia (PMLOA), Er Sui See, berkata beliau diberitahu hanya tiga orang bertugas di Puspakom Muar, termasuk pengurus dan penyelia, semalam, berbanding sekurang-kurangnya 10 orang setiap hari sebelum ini, termasuk lapan pemeriksa kenderaan.
"Saya dimaklumkan bahawa kakitangan Puspakom itu tidak berkerja kerana takut ditahan BPR. Tindakan itu juga mungkin diambil bagi memprotes penahanan rakan mereka," katanya ketika dihubungi.
Dalam operasi besar-besaran di seluruh negara pada Selasa dan Rabu lalu, BPR menahan 47 orang termasuk 28 kakitangan Puspakom dan 19 perantara atau 'runner' bagi membantu siasatan rasuah membabitkan kelulusan pemeriksaan kenderaan.
Semalam, 10 lagi kakitangan Puspakom ditahan termasuk dua di Johor, Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga) dan Perak (satu).
Sementara itu, Ketua Eksekutif Puspakom, Datuk Salamat Wahid ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan memastikan semua pusat pemeriksaan mempunyai kakitangan mencukupi untuk menampung operasi harian.
"Kita akan pastikan kenderaan setiap pelanggan yang sudah membuat temujanji akan diperiksa pada tarikh yang ditetapkan.
"Jika berlaku kekurangan kakitangan, waktu kerja akan dilanjutkan bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa pada hari itu juga," katanya sambil menegaskan operasi Puspakom di seluruh negara setakat ini berjalan lancar.
Mengenai kakitangan Puspakom yang dikatakan tidak bertugas semalam kerana bimbang ditahan BPR, beliau berkata:
"Hari biasa pun ada yang tidak datang... cuti sakit atau sebagainya, tapi kalau hari ini (semalam) ada tak datang kerana bimbang operasi BPR... saya tak tahu. Tapi kita akan teliti sebab tak datang, mungkin cuti sakit."
Beliau berkata, Puspakom di seluruh negara memeriksa hampir 10,000 kenderaan semalam, termasuk lebih 500 kenderaan yang diperiksa di cawangan Johor Bahru dari jam 7 pagi hingga 7 malam.
Dalam kenyataannya petang semalam pula, beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan melalui laman web www.puspakom.com.my atau talian bebas tol 1-800-88-6927 atau menghubunginya terus melalui emel ceo@puspakom.com.my atau telefon 019-3859666.
Katanya, Puspakom juga akan memberi kerjasama dan sokongan padu kepada BPR dalam membanteras gejala rasuah.
www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment