30 August 2008

Rakyat masih ingat semasa Anwar kena zalim, pemimpin Umno tidak bantu

Apa yang ingin kita lihat menjelang September 16 ialah penghijrahan besar-besaran komponen Barisan Nasional yang diterajui oleh parti UMNO.

Mungkin sekarang jika kita bercakap ia disebut spekulasi. Ramalan yang belum tentu akan terjadi. Jika berlaku, ianya menjadi kenyataan.

Sosek-sosek di kalangan ahli parlimen UMNO dan BN telah bermula sebaik Anwar menang kerusi Parlimen Permatang Pauh. Sudah ada yang menggelabah, berpeluh sejuk. Bagi yang jadi tukang gosok, tukang kipas, tukang bodek, tukang projek suhu panasnya makin terasa. Pasti telah ada antaranya sudah berkira-kira, mencongak campur tolak bahagi.

Dengan izin Allah kes penghijrahan atau melompat ini kemungkinan besar boleh berlaku. Jika berlaku, nampaknya Barisan Nasional cuma tinggal UMNO!

Gerakan dan SAPP seperti telah hampir pasti. Jika dilihat pergerakan semasa kempen Permatang Pauh, yang terlibat secara langsung berkempen bagi pihak PKR ialah Gerakan, MCA dan MIC (Ahli Gabungan BN). Suara-suara inginkan pembaharuan politik Malaysia telah mula kedengaran dari ahli gabungan BN. Bermula dengan hilang keyakinan terhadap PM oleh SAPP, suara-suara dari parti Gerakan, MCA dan MIC juga telah mula kedengaran secara terbuka.

Sejak penubuhan Malaysia, negeri Sarawak dan Sabah masih tidak banyak berubah walaupun diperintah oleh kerajaan BN. Walaupun dalam bajet 2009 yang dibentang oleh PM semalam banyak gula-gula yang diberikan peruntukan untuk kedua-dua negeri tersebut tetapi ianya tidak banyak memberi kesan, sudah terlambat untuk dibaikpulih.

Jadi tiada jalan lain bagi seluruh MP Barisan Nasional termasuk UMNO, jika ingin melihat sesuatu pembaharuan ke atas rakyat dan negara ini tanpa kepentingan diri sendiri ialah dengan berhijrah dan bergabung dengan Pakatan Rakyat/PKR.

Dari sini kita semua berkorban untuk melihat Malaysia Baru sempena kemerdekaan tanah air yang ke 51. Tidak ada lagi kaum dan bangsa yang berpaksi kepada tanah besar masing-masing. Kita bina negara bangsa Malaysia yang baru di bawah panji-panji Keadilan yang ada pada semua ugama yang kita anuti.

Kita kembali kepada satu bahasa, satu bangsa dengan pelbagai ugama yang telah lama tidak diambil peduli oleh kerajaan sedia ada. Kembalikan hak-hak bahasa Melayu yang menjadi teras perhubungan warga Nusantara. Kembalikan tulisan jawi yang menjadi tulisan rasmi antara negeri-negeri di Nusantara. Kita kembali bukan bermakna mundur ke belakang. Digalakkan kita mempelajari bahasa-bahasa dunia, tulisan-tulisan dan budaya lain.

Kita rakyat mahu hidup dengan aman, makmur dengan penuh keadilan dan rasa selamat dengan pemerintah yang tidak rasuah, telus, berintegriti, mesra rakyat dan prihatin. Kita mahu lihat contoh pemerintahan Umar Ibnu Aziz sebagaimana di sebut oleh YAB Lim Guan Eng apalagi oleh pimpinan PAS dan keadilan sejagat oleh PKR, inshaAllah kita dapat menutup mata dengan penuh shahdu meninggalkan seribu kebaikan kepada anak cucu cicit kita.

Inilah yang kita harapkan ke atas penubuhan Malaysia Baru.

www.marhaendaily.net

No comments:

Post a Comment