29 August 2008

Rakyat akan menyokong kenyataan Pak Lah jika BN menang dengan pilihanraya yang adil

PM bidas Anwar: Bazir masa layan 'ugutan oportunis'

Perdana menteri menamatkan ucapan pembentangan Bajet 2009 dengan penegasan "tidak akan membenarkan" wujud perubahan kerajaan persekutuan seperti diuar-uarkan sedang diusahakan oleh ketua pembangkang.

"Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan.

"Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti BN yang telah menang majoriti pilihanraya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di hujung ucapan 90 minit di Dewan Rakyat petang ini.

Tambahnya, kerajaan pimpinannya "tidak akan membazirkan masa lagi dengan ugutan-ugutan golongan oportunis untuk merampas mandat rakyat melalui cara-cara yang tidak demokratik."

Kenyataannya itu mendapat tepukan gemuruh ahli-ahli parlimen penyokong kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disahkan secara rasmi sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat semalam, sejak beberapa bulan lepas meletakkan sasarannya sehingga 16 September ini untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau dilaporkan memberikan perhatian khusus untuk menarik ahli-ahli parti komponen BN dari Sabah, termasuk Umno, dan Sarawak.

Anwar, kini ahli parlimen baru Permatang Pauh, menyatakan kemenangannya Selasa lepas akan mempercepatkan lagi usahanya mendapatkan lebih 30 wakil-wakil rakyat BN dalam perjalanannya menuju Putrajaya.

Abdullah, yang juga menteri kewangan, berkata desas-desas yang disebarkan oleh tokoh PKR itu boleh "memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran modal."

"Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini, dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak.

"Kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul untuk berterusan," katanya dalam bajet 'Kerajaan Prihatin' yang bernilai RM207.9 bilion dengan tiga strategi.

Sebelum itu Abdullah menyifatkan politik yang dibawa pembangkang sebagai penuh retorik dan keterlaluan.

"Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan kita, malah menjejaskan kemakmuran negara," katanya, yang berdiri bertentangan dengan tempat duduk Anwar di dewan yang mulia itu.

Perdana menteri turut membidas janji-janji pembangunan Pakatan Rakyat, termasuk sewaktu kempen pilihanraya umum Mac lalu, "yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan kerajaan dan mewariskan negara yang muflis pada generasi muda."

Reaksi Najib, Azmin

Mengulas belanjawan tersebut di lobi Parlimen selepas pembentangan, timbalan perdana menteri menjelaskan peruntukan yang lebih banyak bagi Sabah dan Sarawak kali ini selepas mengambil kira pendapat ahli-ahli parlimen dua negeri itu.

Peruntukan itu dibuat, tambah Datuk Seri Najib Razak, memandangkan wujud keadaan unik di Sabah dan Sarawak yang masih rendah tahap pembangunan, geografi yang luas dan kadar kemiskinan yang tinggi.

"Oleh itu, tugas kerajaan untuk mengecilkan jurang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung. Ia merupakan satu janji sebelum ini," katanya.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyanggah tanggapan bahawa peruntukan itu berkaitan dengan usaha menarik ahli-ahli parlimen dua negeri itu kepada Pakatan Rakyat.

"Ia mencerminkan tanggungjawab kerajaan dan mereka (kerajaan) sangat bertimbang rasa terhadap permintaan ahli-ahli (Sabah dan Sarawak). Dan ia tiada kena-mengena dengan (desas-desus) lompat parti," kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga seorang pemimpin kanan Umno Sabah.

"Ia tidak berniat politik. Ia dibuat selepas perbincangan dan kajian oleh agensi-agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi."

Naib presiden PKR pula menyifatkan kenyataan perdana menteri itu sebagai "seorang diktator yang mengugut ahli-ahli parlimen BN yang berhasrat menyertai Pakatan Rakyat."

Mengulas pendekatan pembangkang yang mengambil dasar-dasar pembangunan populis, Mohamad Azmin Ali yang juga ahli parlimen Gombak berkata:

"Lebih baik kita mengambil pendekatan yang populis daripada bertindak seperti iblis, menekan rakyat dengan zalim, tidak memahami masalah rakyat di bawah dan hanya menggunakan ruang ini untuk memberi gula-gula politik."

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment