30 August 2008

Polis perlu pergiat buru perompak bersenjata api yang sangat berbahaya ini

Jaga ditembak mati

KUALA LUMPUR: Malang berganda menimpa seorang pengawal keselamatan yang baru turun dari van apabila ditembak perompak sebelum dilanggar kenderaan dinaikinya itu ketika pemandu van terbabit cuba melarikan diri dalam satu cubaan rompakan di sebuah bank di Taman Sri Gombak, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa Mad Dahlan Saad, 56, mati sebaik tiba di Hospital Selayang selepas dia cedera akibat ditembak di perutnya selain beberapa kecederaan di badan selepas dilanggar van keselamatan itu.

Difahamkan, mangsa pada mulanya tiba di hadapan bank itu bersama tiga lagi petugas sebuah syarikat keselamatan untuk memasukkan wang di bank terbabit.

Sejurus pemandu memberhentikan van, mangsa turun dari kenderaan itu untuk meninjau keadaan sebelum dia secara tiba-tiba diserang seorang perompak yang melepaskan tembakan yang mengenai perutnya.

Terkejut dengan tembakan itu, pemandu van terbabit terus memecut untuk menyelamatkan diri sebelum secara tidak sengaja terlanggar mangsa.

Difahamkan, pemandu terbabit melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak manakala perompak yang cuba mengejar mereka melarikan diri.

Melihatkan kejadian itu, orang awam terus menghubungi polis dan ambulans yang tiba sejurus kemudian.

Menurut seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 24, dia ketika itu baru tiba di bank berkenaan untuk mengambil wang sebelum terdengar tembakan dilepaskan.

“Ketika itu saya lihat pengawal keselamatan terbabit ditembak dan dia cuba lari untuk menyelamatkan diri sebelum dilanggar van.

“Saya kemudian lari kerana bimbang terkena tembakan dilepaskan seorang perompak yang memakai topeng,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, berkata perompak terbabit menggunakan pistol semi automatik 9mm dan melepaskan enam das tembakan.

“Empat tembakan terkena van syarikat keselamatan terbabit, satu terkena perut mangsa manakala satu das tembakan lagi terkena cermin kaca bank berkenaan.

“Siasatan awal mendapati perompak menaiki Toyota Camry berwarna perak dan mereka sudah menunggu di hadapan bank terbabit sebelum kejadian,” katanya.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment