Pengundi sudah bijak buat penilaian
KUALA LUMPUR: Taktik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggunakan pentas pilihan raya kecil bagi menagih simpati pengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh, dalam usahanya untuk cuba ‘menenggelamkan’ masalah peribadi yang dihadapi, bakal menjerat dirinya sendiri.
Malah, tindakan itu dilihat bakal memberi ruang kepada pengundi dan jentera Barisan Nasional (BN) melihat aksi ‘kecelaruan’ pemimpin terbabit yang seolah-olah mahu menunjukkan dirinya ‘wira palsu’ yang kononnya teraniaya.
Tidak dinafikan, taktik licik pemimpin itu dijangka bakal memakan diri apabila BN mendedahkan kebenaran kepada pengundi Permatang Pauh dan Malaysia.
Malah, bagi Timbalan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail, beliau tidak menolak pemimpin PKR itu bakal tersungkur di kampung halamannya sendiri apabila kebenaran terserlah.
Beliau berkata, walaupun pemimpin terbabit cuba mengalihkan masalah peribadinya dengan pelbagai isu sampingan, pengundi sudah bijak untuk membuat penilaian.
“Saya yakin, rakyat Permatang Pauh tidak akan terpengaruh dengan mainan politik menggunakan sentimen peribadi.
“Malah, kita dapat melihat, pengundi dan penduduk Malaysia mahu melihat kebenaran dan yakin ia dapat dibongkarkan dalam kempen pilihan raya ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau diminta mengulas tindakan penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang beria-ria mahu ‘mengalungkan’ kerusi kemenangan kepada suaminya, dengan membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
Walaupun tindakan itu dibenarkan peraturan pilihan raya di negara ini, ia dilihat tindakan yang memaparkan sikap rakus seorang pemimpin mengambil alih kerusi daripada isteri sendiri bagi mencapai matlamat kepentingan diri.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment