Dua warga asing geng samun ditembak mati
KUALA LUMPUR 26 Ogos — Dua warga asing anggota geng samun rumah yang bergerak aktif di Selangor dan Negeri Sembilan, mati ditembak ketika cuba menyerang polis di Pinggiran Taman Kiambang Indah, Serendah, dekat sini hari ini.
Tiga rakyat tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai bersubahat dalam aktiviti itu ditahan, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor SAC II Hasnan Hassan.
Kejadian berlaku pada 4 pagi apabila kesemua suspek yang menaiki sebuah van dan sebuah teksi dikesan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Hasnan berkata bahawa apabila polis mengarahkan mereka berhenti, tiga lelaki warga negara Indonesia yang bersenjatakan parang dan pisau yang berbentuk seperti sabit, menyerang polis.
“Dua lelaki tersebut mati di tempat kejadian manakala seorang lagi lelaki melarikan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.-Bernama
No comments:
Post a Comment