06 August 2008

Peniaga VCD haram sudah menjadi raja dan tidak takut sesiapa

Bunuh sahaja aktiviti puaka-puaka ini

Saya sedih melihat gambar seorang penguatkuasa DBKL yang cedera di bahagian kepala dan mukanya yang dipaparkan dimuka depan harian Metro hari ini. Menurut lamporan beliau dibelasah oleh beberapa orang peniaga VCD haram berhampiran Jalan masjid India,KL.

Ini bukan insiden pertama dan saya yakin insiden ini akan berterusan dan berulang-ulang lagi.

Kesimpulannya puaka bergelar peniaga VCD haram ini kini sudah bermaharajalela, boleh berniaga barang haram dan boleh juga membelasah dan mengugut pihak penguatkuasa sesuka hati. Di samping itu kita juga menerima laporan berapa ramai pula pihak pengutakusa, polis dan PBT yang menerima “gula-gula” daripada mereka ini untuk tidak mengambil tindakan. Ataupun jika mahu adakan operasi, maklumkan terlebih dahulu kepada “tonto-tonto” mereka yang bertugas agar semua penguasaha VCD haram ini samada yang menjaja dari meja ke meja atau yang di pasar-pasar malam dan tempat tumpuan orang-ramai dapat dimaklumkan terlebih dahulu melalui “walkie talkie”.

Akibat dari aktiviti puaka-puaka ini kerajaan kehilangan hasil samada dari cukai secara langsung atau tidak langsung, begitu juga lesen premis atau berniaga PBT. Selain itu produk VCD ini tidak bertapis dan sebahagian besar menjual yang lucah dan tidak senonoh. VCD ini dengan mudah boleh jatuh ke tangan anak-anak kita dan ini mencetuskan masalahn sosial yang lain.

Apa yang boleh kita buat?

Bahana ini bukan baru, macam-macam telah dilakukan tetapi nampaknya ia semakin kembang dan biak, dalam erti kata lain semua yang telah dilakukan gagal.

Boleh tak kita basmi terus puaka-puaka ini? Lancarkan kempen besar-besaran selama 1 bulan contohnya melibatkan semua pihak polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan PBT. Kita ligan mereka sampai ke akar umbi dan pihak BPR pula pantau mana-mana pihak penguatkuasa yang cenderung untuk memakan ”gula-gula” dari tangan puaka-puaka ini.

Jika tidak apa kata kita halalkan sahaja aktiviti mereka. Biarkan mereka beroperasi tanpa halangan, sekurang-kurangnya tak adalah pegawai-pegawai kita yang cedera tanpa pembelaan, bagaimana?

http://n32.blogspot.com

Dibelasah 7 samseng

KUALA LUMPUR: Akibat menegur sekumpulan peniaga cakera padat video (VCD) haram supaya menghentikan kegiatan mereka, seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang hingga terpaksa menerima 13 jahitan di kepala dan muka.

Mulanya, mangsa, Azrimie Yahya, 27, bersama lima anggota penguat kuasa DBKL lain melakukan rondaan di sekitar Jalan Masjid India di sini, kira-kira jam 4.45 petang, kelmarin.

Dia meninjau di kawasan persekitaran manakala empat anggota lain mengambil tindakan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas di Jalan Melayu.

“Saya ternampak beberapa peniaga dipercayai menjual VCD haram lalu menghampiri mereka sebelum menegur dengan cara elok supaya menghentikan kegiatan menyalahi undang-undang itu,” kata Azrimie ketika ditemui, semalam.
Bagaimanapun, katanya, peniaga terbabit berkeras dan bertindak seolah-olah mencabar tugasnya.


“Belum sempat saya berbuat apa-apa, enam hingga tujuh lelaki dipercayai geng peniaga terbabit terus menyerang dan memukul saya bertubi-tubi tanpa belas kasihan,” katanya.

Dia tidak berdaya melawan kerana bilangan penyerang bukan saja ramai, malah ada antaranya menggunakan senjata dipercayai buku lima.

Menurutnya, kejadian itu berlaku begitu pantas dengan penyerangnya menghilangkan diri dalam kesibukan orang ramai di kawasan berkenaan.

Ini menyebabkan anggota penguat kuasa lain yang cuba membantu gagal mengejar dan menangkap mereka.

Akibat serangan itu, kata Azrimie, dia cedera di kepala, muka serta badan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

“Inilah risiko tugas kami tapi kejadian itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus bekerja dan membanteras peniaga yang beroperasi secara haram di kawasan ini,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Ab Salim Mansor, berkata anggota penguat kuasanya sering dihambur kata-kata kesat ketika menjalankan operasi membanteras peniaga haram di kawasan berkenaan.

“Sudah menjadi lumrah anggota kami selalu dimaki penjaja haram dan pertengkaran juga sering tercetus. Walaupun kami menggunakan budi bicara dalam menyelesaikannya, namun akhirnya (penguat kuasa) menjadi mangsa,” katanya.

Katanya, jika bertegas penguat kuasa akan dituduh melakukan kekasaran dan tidak bertimbang rasa.

“Orang ramai hanya melihat kami berkasar tapi adakah mereka fikir kesukaran anggota penguat kuasa menjalankan tugas membanteras peniaga haram ini?” katanya yang kesal dengan sikap orang ramai yang langsung tidak membantu Azrimie, sebaliknya hanya melihat dia dibelasah.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment