Zahid sokong penjualan arak diharamkan
IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyokong gesaan menghapuskan aktiviti perjudian serta dihadkan premis jualan arak di semua negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR).
Katanya langkah itu adalah baik kerana penjualan minuman keras kini dilakukan di tempat awam secara terbuka.
Katanya, walaupun cadangan berkenaan dibuat oleh pembangkang tetapi ia sesuatu yang perlu disokong oleh Barisan Nasional (BN).
"Saya memberi sokongan atas nama agama dan saya memberi komitmen untuk menyokong tindakan yang dibuat oleh mereka...pada hemat saya kerajaaan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional pun harus mengambil tindakan yang sama," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan kakitangan Kemas Perak di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamed Daud semalam yang meminta semua kerajaan negeri pembangkang mencontohi Kelantan menghapuskan terus aktiviti perjudian dan mengehadkan premis jualan arak.
Ahmad Zahid berkata masalah yang berlaku ialah walaupun penjualan minuman keras telah disebut tidak boleh dijual kepada orang Islam tetapi apabila ia dijual di tempat terbuka, ia menjadi kemudahan kepada orang Islam membelinya.
"Sebagai contoh baru-baru ini akhbar melaporkan ada pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah yang membeli minuman keras. Kerana ianya dijual di tempat terbuka apabila ada permintaan ada penawaran," katanya.
Sementara itu, di PETALING JAYA, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe menyokong cadangan itu tetapi membataskan sokongannya berhubung premis jualan arak.
Katanya Gerakan akan menyokong sebarang usaha untuk membendung masalah sosial seperti jenayah dan keganasan keluarga.
"Tetapi dalam soal arak, setengah orang hanya minum sedikit bagi meringankan tekanan ..jadi kami tidak akan sokong kepada larangan sepenuhnya, kerana ia menyekat hak kebebasan ramai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Galeria Merdeka di Subang dekat sini. BERNAMA
No comments:
Post a Comment