Manila batal perjanjian damai dengan MILF
MANILA 21 Ogos – Kerajaan Filipina hari ini memutuskan untuk membatalkan perjanjian damai dengan kumpulan minoriti Islam di selatan negara ini selepas pertempuran selama dua minggu di sana.
Perjanjian damai berkenaan telah ditandatangani oleh pemimpin negara Kristian ini dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi mewujudkan kawasan milik penganut Islam di selatan Mindanao.
“Pembatalan Memorandum Persetujuan mengenai tanah pusaka turun-temurun (MOA-AD) adalah satu perkara sukar,” jurucakap Presiden, Lorelei Fajardo, merujuk kepada nama rasmi perjanjian damai tersebut.
Fajardo menjelaskan, Presiden Gloria Macapagal Arroyo “sensitif” dengan bantahan pemimpin Kristian tempatan yang telah menguasai jalan-jalan raya dan menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai satu “penjualan.”
“Presiden komited terhadap keamanan. Pentadbiran ini adalah sensitif terhadap sentimen umum sementara Presiden pula komited terhadap perlembagaan.
“Beliau (Arroyo) akan berusaha membincangkan perjanjian baru yang akan merujuk kepada perlembagaan dan tidak akan membenarkan MILF memberi tekanan kepada kerajaan untuk menandatangani sebarang perjanjian, walaupun ia bertujuan mewujudkan keamanan,” tambahnya.
Mahkamah Agung Filipina pada 4 Ogos lalu telah mengeluarkan arahan penangguhan sementara ke atas perjanjian melibatkan penyerahan tanah berikutan protes daripada beberapa ahli politik yang mendapati perjanjian tersebut “tidak menurut perlembagaan.”
Dua orang komander MILF sejak itu tidak mengendahkan arahan kepimpinan, terus mengangkat senjata dan membunuh penduduk awam, merampas harta benda serta membakar kediaman dan ladang.
Lebih 100,000 orang melarikan diri dari kampung halaman masing-masing sejak pertempuran itu tercetus.
Kedua-dua komander itu mengaitkan serangan tersebut dengan keputusan penangguhan oleh Mahkamah Agung dan menyifatkan kerajaan telah merangka perjanjian tersebut supaya ia gagal.
– AFP
No comments:
Post a Comment