Wartawan, penyokong Anwar panik
Kumpulan wartawan dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada dekat rumahnya hari ini panik – bukan kerana kehadiran pasukan polis yang diura-ura bakal menangkapnya, tetapi gara-gara sebuah van Poslaju hampir terbalik depan pintu pagar rumah itu.
Kejadian itu menyebabkan beberapa wartawan dan petugas PKR yang berada di situ bergegas menahan van tersebut daripada terbalik sewaktu memberikan laluan kepada sebuah kereta yang melalui jalan sempit depan rumahnya di Bukit Segambut.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu dipercayai akibat jalan masuk ke rumah Anwar agak tinggi sehingga ia hilang keseimbangan dan tayar belakang sebelah kirinya terangkat.
Sewaktu kejadian, pemandu van itu sedang menunggu seorang lagi kakitangan Poslaju menyerahkan bungkusan di rumah penasihat PKR.
Sehingga jam 4.30 petang, kira-kira 30 wartawan dan jurugambar mula berkumpul di luar rumah Anwar.
Kumpulan ini mula menuju ke situ bermula jam 2.30 petang lagi apabila tiba-tiba muncul desas-desus terbaru di kalangan pegawai pentadbiran dan pemimpin PKR bahawa Anwar mungkin ditahan.
Desas-desus itu muncul selepas polis diura-urakan telah mengeluarkan arahan menangkapnya.
Kebimbangan Anwar ditangkap menghantui PKR sejak munculnya laporan polis terhadapnya berhubung dakwaan meliwat pada 28 Jun lalu.
Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman bagaimanapun dilaporkan menafikan mengeluarkan arahan tersebut.
Beberapa pemimpin utama parti dilihat mula memasuki kediaman ketua mereka itu bermula jam 3 petang, antaranya Zuraida Kamaruddin (ketua Wanita PKR), serta beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi seperti Khalid Jaafar, Dr Xavier Jayakumar dan Latheefa Koya.
Turut kelihatan memasuki rumah tokoh pembangkang itu, S Manikavasagam (ahli parlimen Kapar) dan Amirudin Shaari (Adun Batu Caves).
Anwar, ahli keluarganya dan naib presiden PKR Sivarasa Rasiah dipercayai berada lebih awal di dalam rumah.
Penasihat PKR dijadual menyampaikan satu ceramah di Bentong, Pahang malam ini.
Khamis lalu, PKR meramalkan Anwar akan ditahan dalam "tempoh 48 jam" berhubung kes dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi menghalangnya bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment