24 August 2008

Jika memilih menjadi BPR Umno | BPR rakyat akan menjadi penganti 16 September 2008

Agen KM Sabah Ditahan Seludup RM16 Juta Untuk Permatang Pauh

Agen KM Sabah Ditahan Seludup RM16 Juta Untuk Permatang Pauh

Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang terkenal dengan siri-siri skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum ini, dikesan cuba menyeludup RM16 juta dari luar negara untuk kegunaan kempen BN di Permatang Pauh.

Penemuan itu dibuat berikutan penangkapan abang angkatnya, Michael Chia, yang membawa beg bimbit sarat dengan wang ringgit, dalam perjalananya pulang ke Kuala Lumpur dari Hong Kong – sebuah negara pulau yang menjadi syurga kepada kegiatan kongsi gelap Cina.

Rampasan RM16 juta yang akan ditaburkan di Permatang Pauh itu mengundang kecaman hebat dari Pakatan Rakyat. Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mempunyai alasan untuk tidak menyiasat Musa Aman, sepertimana kepantasan BPR menahan dua pimpinan KeADILan Perak baru-baru ini.

“Bukan satu isu sekiranya Musa Aman menafikan pembabitannya dalam rasuah ini, ataupun kerajaan sedang sibuk dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh, pokoknya polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) harus menjalankan siasatan terhadap beliau,” kata penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Seruan Lim Kit Siang ini satu peringatan keras kepada BPR, yang selama ini membisu ketika tuduhan rasuah terpalit pada pemimpin-pemimpin kanan BN.

Seraya dengan itu empat pemimpin DAP Sabah memfailkan laporan polis terhadap Musa Aman 22 Ogos lalu. Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr Hiew King Chiew, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Adun Sri Tanjong Jimmy Wong memfailkan laporan polis terhadap rasuah Musa Aman di Balai Polis Dang Wangi sekitar 11.30 pagi.

Laporan polis itu dibuat berdasarkan kepada pendedahan laman web Malaysia-Today yang melaporkan abang angkat Musa Aman itu ditahan membawa wang RM16 yang dikatakan untuk kegunaan kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

“Menurut sumber dari polis Hong Kong dan Interpol, Michael diperhatikan sejak tiga tahun lalu. Michael ditangkap sedang membawa matawang Singapura bernilai RM16 juta dalam beg bimbitnya,” lapor laman berita itu.

Menurut sumber dari polis Hong Kong itu lagi, Michael merayu polis negara itu supaya dibebaskan kerana wang itu bukan miliknya, tetapi milik Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dan dia sekadar ‘agen’ menyeludup wang itu dari Hong Kong untuk BN.

Lapor Malaysia-Today, Musa dirundung gelisah apabila akaun banknya di Hong Kong dibekukan serta-merta menyusuli penangkapan abang angkatnya itu.

KeADILan Mahu BPR Siasat

Mengulas isu ini, Pengerusi Perhubungan KeADILan SAbah, Ansari Abdullah tidak menolak kemungkinan wang ini digunakan untuk kempen BN di Permatang Pauh, bahkan kejadian ini bukan kali pertama berlaku. Menurut Ansari, dana dari sumber-sumber mencurigakan telah membiayai jentera BN semasa pilihanraya di Sabah.

“Sebelum ini, individu-individu tertentu daripada Sabah disyaki terbabit dalam pembalakan haram di Keningau dilaporkan telah membiayai jentera BN dalam pilihanraya lalu,” kata Ansari ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya lebih keras menggesa BPR menyiasat perkara ini, kerana beliau sendiri tidak yakin BPR akan menyiasat kes Musa Aman ini sepertimana BPR menyiasat kes membabitkan dua exco negeri Perak yang ditahan baru-baru ini. Jelas Ansari, kes sebegini rupa menjadi isu besar di Sabah dalam PRU12 lalu, namun kes ini tidak lagi disebut selepas pilihanraya.

“Pembiayaan dari sumber-sumber mencurigakan menjadi isu besar di Sabah, hinggakan BPR direkah untuk menahan individu-individu yang dipercayai terbabit, namun kes ini telah ditutup begitu sahaja. Orang-orang inilah yang membiayai jentera pilihanraya BN,” tegas Ansari.

Polis Jangan Berat Sebelah

Bercakap selepas memfailkan laporan polis, Dr Hiew menggesa polis untuk tidak berat-sebelah dan menangguh-nangguhkan siasatan keatas Musa Aman. Dalam masa yang sama, polis juga diminta merampas passport Musa supaya Ketua Menteri Sabah itu tidak kemana-mana dan membantu siasatan berhubung penyeludupan RM16 juta ini.

“Kita persoalkan dari mana sumber wang ini - dari mana, dan untuk apa wang itu akan digunakan,” kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu lagi.

“Rakyat Sabah antara rakyat yang termiskin di negara in, tetapi kita ada laporan menyatakan Ketua Menteri memiliki wang RM16 juta, ini tentunya sekali merosakkan imej negeri Sabah di mata rakyat di Semenanjung,” keluh Hiew.

www.suarakeadilan.com

No comments:

Post a Comment