31 August 2008

Gerakan tidak puas hati kerana Ketua Umno Bahagian perkauman

Gerakan gesa Ketua Umno Bukit Bendera dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR: Gerakan, parti komponen Barisan Nasional (BN), hari ini mahu tindakan diambil ke atas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berhubung kenyataannya yang bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Semasa satu ceramah di Permatang Pauh pada 25 Ogos lepas, Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanyalah penduduk sementara di negara ini dan oleh itu adalah mustahil untuk mendapat hak yang sama di negara ini.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk seri Chia Kwang Chye berkata, ramai rakyat Malaysia kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila mengulas mengenai kenyataan Datuk Ahmad Ismail.

"Mereka menjangka satu kecaman yang kuat, terutama pada 31 Ogos, hari di mana semua rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

"Selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, sebarang kesangsian mengenai kesetiaan mana-mana penduduk etnik Malaysia dan tindakan mempersoal kewarganegaraan adalah melampaui usaha menyemai persefahaman di kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh minggu lepas, Ahmad didakwa membuat kenyataan itu dan semalam, ketika mengulas mengenai perkara itu Abdullah berkata, beliau akan "memberitahu Ahmad jangan mengulangi lagi perkara itu."

"Anda tahu semasa berkempen pelbagai perkara boleh timbul. Saya tidak fikir beliau bermaksud sedemikian. Saya akan pastikan untuk memberitahu dia jangan gunakan perkataan itu lagi," kata Abdullah semalam.

Chia berkata kenyataan Ahmad sudah lapuk dan menimbulkan provokasi perkauman sambil menambah sebarang petanda bahawa BN bertolak ansur dengan mereka yang jelas bersikap perkauman dan mengeluarkan pendapat yang bersifat provokasi akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

"Ahmad Ismail bukan sahaja patut menarik balik apa yang diucapkannya tetapi perlu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan juga dikenakan tindakan disiplin bagi mengelak perkara itu daripada berulang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Teng Hock Nan dalam satu kenyataannya mendesak pimpinan UMNO dan BN untuk mengkaji semula pendirian terhadap Ahmad.

Beliau meminta polis menyiasat perkara itu memandangkan MCa dan Gerakan telah pun membuat laporan terhadap Ahmad. BERNAMA

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment