31 August 2008

Gara-gara ura-ura Anwar menjadi PM, sudah ramai ahli Umno lompat masuk Pakatan Rakyat

UMNO akan bersihkan parti, tak mahu ahli musang berbulu ayam

UMNO akan melakukan pembersihan terutama di peringkat cawangan bagi memastikan hanya ahli yang tulin dan setia sahaja kekal dalam parti itu.

Malah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor meminta ahli-ahli yang sudah atau mahu keluar parti membuat perisytiharan.

“Kita tidak mahu ada antara mereka jadi talam dua muka, gunting dalam lipatan atau musang berbulan ayam yang akan merosakkan UMNO,” katanya kepada Agendadaily di Putrajaya, Sabtu.

Beliau menjawab pertanyaan kemungkinan budaya lompat parti membabitkan ahli-ahli UMNO di negeri yang dikuasai pembangkang berlaku dengan adanya ura-ura Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerajui kerajaan baru sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengakui ada ahli UMNO tukar baju kepada PAS dan Keadilan (PKR) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, baru-baru ini.

“Ada maklumat dan data sudah diberi kepada ibu pejabat UMNO tetapi kita belum buat pembersihan. Kita akan buat pembersihan supaya ahli yang tulin dan setia sahaja bersama UMNO,” katanya.

Tengku Adnan berkata, ketika berjumpa 92 cawangan di bahagian Permatang Pauh beliau sudah meminta senarai tersebut dan pembersihan akan dilakukan.

www.agendadaily.com

No comments:

Post a Comment