23 August 2008

Debat Arif Vs Anwar | Anwar akan kalah jika debat itu menggunakan bahasa cina

Cadangan Anwar-Arif berdebat

Sebuah badan bukan kerajaan mencadang supaya calon Barisan Nasional (BN) dan PKR mengadakan debat rakyat untuk memberi peluang kepada penduduk Permatang Pauh menilai siapakah yang terbaik buat mereka.

Badan tersebut - Teras Pengupayaan Melayu (Teras)- yang mendakwa tidak terikat dengan mana-mana organisasi politik, berhasrat untuk menganjurkan debat rakyat tersebut.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, debat itu juga dapat memperlihatkan calon mana - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Datuk Arif Shah dari Umno - yang mampu mengutarakan visinya yang jelas, bukan sahaja untuk Permatang Pauh, tetapi juga untuk negara.

"Kami mencadangkan debat ini diadakan pada 24 Ogos 2008 jam 2 petang di mana-mana kawasan di dalam Parlimen Permatang Pauh.

"Kami berhasrat debat ini dapat ditonton serta didengari oleh penduduk Permatang Pauh dan seluruh Malaysia. Oleh itu, kami mencadangkan debat ini juga dapat disiarkan secara siaran langsung oleh stesen-stesen televisyen seperti RTM, TV3, NTV7, TV9 dan Astro Awani," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Azmi berkata, debat tersebut tidak bermaksud untuk warga Permatang Pauh semata-mata, tetapi sudah tentu menarik perhatian seluruh negara kepadanya.

Perkembangan kempen

"Oleh itu tajuk debat yang bakal kami cadangkan pastinya mempunyai kepentingan bersama, iaitu buat penduduk Permatang Pauh juga untuk rakyat Malaysia seluruhnya.

"Bersesuaian dengan bulan menyambut kemerdekaan iaitu bulan Ogos, maka tajuk debat yang kami cadangkan ialah ‘Rakyat Merdeka, Negara Merdeka.’," katanya.

Katanya, perkembangan kempen yang sedang rancak diadakan terutama oleh Anwar dan Arif Shah sekarang, memerlukan suatu anjakan segera supaya "budaya politik yang lebih matang dan sihat dapat diketengahkan kepada rakyat".

Mohd Azmi berkata, Teras mendapati ada tanda-tanda sangat tidak sihat dalam amalan berkempen untuk menang di mana tumpuan kepada serangan peribadi calon lebih diberi perhatian berbanding dengan bagaimana negara harus ditadbir dan krisis ekonomi dapat ditangani.

"Malah yang jauh lebih utama ialah menumpu kepada bagaimana negara harus mengatasi kemelut sosio-ekonomi-politik yang terus menjadi cabaran yang semakin rumit dan kompleks.

"Kami resah melihat semakin berkembangnya budaya di kalangan ahli politik dan organisasi yang mereka wakili untuk mempolemikkan isu picisan serta terlibat di dalam kempen membunuh keperibadian
individu tertentu," tambahnya.

'Angkat darjat politik'

Menurut Mohd Azmi, ini jelas tidak akan membantu untuk mengangkat darjat politik ke tahap yang lebih bermaruah jika yang dijadikan bahan kempen ialah menyerang peribadi secara kotor.

"Kami tidak mempunyai tujuan lain dalam menganjurkan debat ini, selain mengharapkan debat ini menjadi medan untuk mengangkat isu-isu nasional dan tempatan," katanya sambil menambah debat itu juga bertujuan mempertingkatkan mutu wacana politik nasional dan tempatan.

Teras, katanya, bercita-cita untuk melihat satu budaya baru dalam suasana berkempen di negara ini, di mana calon-calon dapat memperlihatkan kematangan dan kualiti pemikiran mereka kepada pengundi.

Dengan itu, kata Mohd Azmi, para pengundi dapat membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat yang diperolehi dan dinilai dengan matang .

"Kami percaya kemahiran berhujah serta keupayaan untuk menyampaikan hujah tersebut juga merupakan salah satu ciri kepimpinan yang perlu ada kepada setiap individu yang ingin menjadi wakil kepada rakyat di Parlimen nanti," tambahnya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment