17 August 2008

Dapat perak wira negara? | Bangsa berhati kerdil

Chong Wei Tetap Wira Negara, Kata Najib

BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Lee Chong Wei tetap merupakan seorang wira negara walaupun hanya mampu mengutip pingat perak dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Ahad malam.

Katanya kejayaan Lee melangkah ke peringkat akhir perlawanan itu membanggakan negara dan ia membangkitkan semangat juang di kalangan rakyat Malaysia.

"Beliau ada membuat beberapa kesilapan pada perlawanan itu dan persembahannya kurang baik berbanding pada peringkat separuh akhir," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan itu menerusi televisyen bersama jentera pilihan raya kecil Permatang Pauh di Bilik Gerakan Induk Pemuda Barisan Nasional di sini hari ini.

Harapan negara untuk memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik berkubur selepas Chong Wei tewas straight set kepada pemain tuan rumah Lin Dan 21-12, 21-8 dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki.

Chong Wei hanya berjaya meraih pingat perak selepas tidak mampu memberi tentangan kepada pemain nombor satu dunia itu yang begitu bersemangat beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, ibu bapa Chong Wei ketika ditemui di kediaman mereka malam ini berkata kedua mereka tetap berbangga dengan pencapaian anak mereka itu.

"Saya tidak kecewa kerana Chong Wei berjaya memasuki perlawanan akhir, dan berusaha sebaik mungkin. Saya berharap rakyat Malaysia tidak marah dan kecewa sebab Chong Wei sudah mencuba sedaya upaya," kata bapa Chong Wei, Lee Ah Chai.

Ah Chai berkata beliau percaya berdasarkan persembahan Cong Wei itu, ia jelas menunjukkan bahawa anaknya itu tertekan.

Hampir 30 wartawan dan jurugambar menemani keluarga Chong Wei di kediamannya di Cheras malam ini bagi menyaksikan perlawanan akhir itu.

Walaupun tewas Chong Wei masih boleh berbangga kerana menamatkan kemarau pingat negara selama 12 tahun, dengan kali terakhir dimenangi oleh beregu lelaki Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996) dan pemain perseorangan Rashid Sidek (gangsa juga di Olimpik Atlanta).

Kejayaan merangkul pingat perak itu membolehkan Chong Wei mendapat insentif RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 seperti yang diumumkan oleh Najib yang juga merupakan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, baru-baru ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment