Hadi: Anwar tak perlu bersumpah
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bersumpah menggunakan kitab suci bukan ajaran Islam sebaliknya merupakan amalan orang Kristian dan Yahudi.
Sehubungan itu, kata bekas menteri besar Terengganu itu, kes yang membabitkan zina dan liwat hendaklah dirujuk kepada undang-undang qazaf.
"Jika undang-undang qazaf tidak ada, kerajaan perlu membuat pindaan di Parlimen supaya ia boleh diadili melalui undang-undang Islam
"Rujuk kepada mahkamah syariah mengikut Akta 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan iaitu kes untuk zina dan liwat," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan mendakwa beliau telah diliwat secara paksa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, dalam Islam hanya ada lian iaitu sumpah antara pasangan suami isteri.
"Anwar dan Saiful bukan suami isteri dan dalam kes ini ia bukan sahaja tidak kena tetapi telah menunjukkan kebodohan umat Islam sendiri.
'Agenda politik kotor'
"Beliau (Saiful) menggunakan agama Islam jenama apa kerana ia tidak merupakan hak dalam Islam.
"Bagaimana Saiful bersumpah menggunakan Quran sedangkan dia tidak tahu isu kandungan kitab suci itu.
"Dia (Saiful) boleh buat apa sahaja tetapi kita tidak boleh dengar sebelah pihak sahaja," katanya.
Abdul Hadi sekali lagi mengulangi kes tersebut merupakan satu agenda politik yang kotor.
Beliau juga menegaskan PAS akan tetap membantu Anwar untuk memenangi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.
Katanya, dalam Islam seseorang tidak dianggap bersalah selagi ia tidak didapati bersalah.
"Oleh itu kita tidak mahu membuat hukuman awal seolah-olah Anwar telah bersalah.
"Apabila membenarkan Anwar bertanding dalam pilihanraya ia merupakan satu kaedah yang beliau tidak bersalah," katanya.
Abdul Hadi juga berkata, Anwar tidak perlu untuk melakukan sumpah laknat sepertimana yang dilakukan oleh Mohd Saiful untuk membersihkan namanya.
"Biarlah ia diputuskan oleh Mahkmah Syariah," katanya.
Dalam kenyataannya semalam, Saiful mencabar Anwar supaya melakukan sumpah laknat untuk membersihkan namanya.
Komen Nik Aziz
Sementara itu, Bernama melaporkan, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga berkata kaedah sumpah laknat oleh Saiful dengan memegang kitab suci al-Quran adalah menyalahi ajaran Islam kerana perbuatan memegang atau menjunjung kitab suci sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.
"Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tetapi bukanlah dengan memegang kitab suci al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah," katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi penamaan calon penasihat PKR itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pagi tadi.
Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Saiful Bukhari bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar.
Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.
Semalam Saiful Bukhari membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar telah meliwat dirinya dalam keadaan paksaan.
Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihanraya kecil itu.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment