17 August 2008

Bukti Saiful jahil agama mudah dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab

Saiful Bukhari diperalat pihak tertentu

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Haron Din melahirkan rasa hairan bagaimana orang yang membuat tuduhan pula bersumpah dan bukan pihak yang kena tuduh.

"Pengakuan bersumpah mestilah datang dari orang yang dituduh, sedangkan Saiful Bukhari Azlan adalah penuduh dalam kes liwat yang membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Sedangkan mengikut sejarah Islam, Saiditina Aisyah pernah dituduh melakukan perbuatan kurang sopan, namun Rasulullah saw tidak pernah pula menyuruh isterinya itu bersumpah," katanya ketika ditemui di sini.

Ini kerana beliau berkata, sumpah terbabit amat berat dan sedangkan perkara itu boleh dilakukan di mahkamah sahaja.

Kelmarin pelakon utama dalam tuduhan liwat terhadap Ketua Umum KeADILan itu dikatakan melakukan sumpah di Dewan Solat Utama Masjid Wilayah Persekutuan dengan disaksikan beberapa pegawai masjid serta ahli keluarganya.

Turut hadir pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pengarah Jawi, Dato' Che Mat Che Ali.

Dr Harun kata, tindakan Saiful menggunakan nama Allah dan bersumpah agar dilaknatkan sehingga ke anak cucu atau seluruh generasinya adalah sesuatu yang amat berat.

Menurutnya bukan dengan semudah itu membuat pengakuan bersumpah di masjid.

"Kalau nak bersumpah juga, janganlah sampai suruh Allah laknatkan seluruh keturunan sampai bila-bila, saya berpendapat Saiful patut tarik balik sumpah itu.

"Saya menyeru kepada orang ramai supaya jangan mudah untuk membuat akuan bersumpah dalam apa perkara pun.

"Biarlah mahkamah putuskan untuk seseorang itu membuat akuan bersumpah, saya bimbang akan tiba laknat Allah," ujarnya.

Mengulas ungkapan bodoh yang digunakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beliau berkata, mungkin beliau berpendapat hukum Islam tidak dipatuhi oleh pihak yang bersumpah terbabit.

Malah kata beliau memang tindakan Saiful dianggap tidak cerdik kerana dia kurang arif dalam hal agama dan kelihatan diperalatkan pihak tertentu.

Beliau juga bimbang tindakan bersumpah itu boleh menimbulkan pelbagai andaian di kalangan bukan Islam terhadap agama Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Sallahudin Ayub berkata, tindakan Saiful membuat pengakuan bersumpah sebagai strategi dan gimik politik pihak-pihak tertentu.

Semalam Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa khuatir terhadap cara bersumpah mengangkat al-Quran yang disifatkannya meniru cara orang Kristian.

"Apa yang membimbangkan kita, ramai beranggapan apabila mengangkat sumpah, mesti kena pegang al-Quran sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

"Pegang-pegang al-Quran ini sama seperti orang Kristian bersumpah dengan memegang Bible. Ini semua pengaruh yang tidak baik dan ditiru orang Islam," katanya.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment