31 August 2008

BN kebingungan dan hilang arah selepas kalah besar di Permatang Pauh

Keanehan di permatang pauh

BANYAK keanehan berlaku sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu. Keanehan yang membawa kepada kekalahan dengan majoriti besar calon Barisan Nasional (BN) dan sekaligus menghantar Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kemuncaknya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Aneh, kerana Anwar yang dibebani dengan dakwaan salah laku moral dan jenayah tetap dipilih oleh penduduk Permatang Pauh - kawasan yang 'ditinggalkannya' sejak 10 tahun lalu sungguhpun ia hanya merupakan kubu terakhir Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Dalam sejarah politik Malaysia, tiada pemimpin sekebal Anwar - tetap disanjung dan dipuja - walaupun apa yang didakwa dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjadi pantang larang berpolitik dan dosa besar bagi umat Islam.

Sumpah laknat oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan dakwaan liwat di mahkamah serta menggunakan wang haram hasil perjudian, salah laku semasa berada dalam kerajaan serta kontroversi seks gagal menggoncang ketaksuban pengundi Permatang Pauh terhadap kredibiliti beliau.

Penduduk Permatang Pauh tetap mengaguminya sebagai seorang pejuang rakyat dan lebih daripada itu, seperti yang dicanang sebagai bakal Perdana Menteri. Dalam setiap ceramahnya, khalayak Permatang Pauh pulang dengan rasa puas dan lega bahawa Anwar akan menyelesaikan masalah mereka.

Mungkin ini berkat kesabaran Anwar kerana demokrasi memang memerlukan kesabaran. Kesabaran untuk mendengar dan didengar. Demokrasi memerlukan telinga yang lebar untuk respons kepada semua suara termasuk suara senyap. Demokrasi juga memerlukan dada yang lapang untuk menerima suara kecaman dan herdikan.

Ini juga kelebihan Anwar. Kemampuannya meyakinkan khalayak mengenai personalitinya menyebabkan mereka tidak ambil peduli dengan urutan peristiwa berdasarkan fakta yang berlaku sebelum dan semasa kempen pilihan raya.

Aneh, kerana sumpah laknat Saiful yang tidak disambut, gagal mendorong dan membentuk keyakinan umum bahawa beliau berada pada kedudukan di pihak yang bersalah. Kemenangannya dengan majoriti lebih besar berbanding yang diperoleh oleh 'penjaga kawasannya', Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail setakat ini boleh memberi gambaran bahawa masyarakat lebih mempercayai Anwar.

Keengganan Anwar untuk membalas sumpah dengan kilah tidak mahu mempermainkan hukum Islam dan berpegang kepada nasihat ulama negara luar lebih meyakinkan penduduk Permatang Pauh. Inilah yang tersurat kerana setakat ini, hanya Allah, Anwar dan Saiful yang mengetahui kebenarannya.

Tetapi sumpah adalah perbuatan yang bukan boleh dibuat main-main dan bakal meninggalkan kesan serius. Kesannya boleh dilihat dalam jangka waktu pendek atau panjang - sekurang-kurangnya setahun.

Aneh, dalam kempen di Permatang Pauh tidak ada pula dakwaan Anwar diancam bunuh. Sedangkan beliau sangat terdedah dengan persekitaran yang terbuka di pasar, pentas, restoran dan dalam kenderaan. Dalam sehari - siang dan malam - sekurang-kurangnya lima ceramah yang dihadiri oleh Anwar di tempat terbuka tetapi tidak terdengar langsung ada ancaman terhadap nyawanya.

Keadaan ini jauh berbeza sewaktu beliau mendakwa diancam bunuh semasa tersebar khabar polis akan menangkapnya untuk siasatan terhadap laporan liwat oleh Saiful. Ini hingga menimbulkan persepsi negara ini tidak lagi selamat. Ia juga telah mengundang campur tangan kuasa besar Amerika Syarikat (AS), iaitu satu perbuatan yang tidak disukai oleh rakyat negara ini.

Persepsi Walaupun ini menguatkan persepsi bahawa Anwar sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya dan sentiasa bersekutu dengan Barat, tetapi sekali lagi penduduk Permatang Pauh tidak ambil peduli. Anwar sentiasa mempunyai alasan. Anwar sentiasa lebih pintar berkilah untuk memutihkan segala persepsi buruk terhadap tindakannya.

Aneh, cita-cita melangit Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini - enam hari sebelum kesnya disebut semula di mahkamah - disambut dengan rasa keghairahan yang luar biasa di Permatang Pauh. Di kalangan penduduk percaya mereka bukan sahaja mengundi untuk kerusi di Parlimen tetapi juga jawatan tertinggi pemerintahan negara.

Pas pula yang dilihat bersikap 'demi kepentingan politik', tidak pula mahu menghalang hasrat Anwar sedangkan ia terang-terangan meminggirkan kepimpinan parti berteraskan Islam itu. Lebih daripada itu, impian Anwar tersebut jelas bakal mengorbankan asas perjuangan parti sekutu dalam pakatan pembangkang tersebut.

Rangsangan harapan baru secara berterusan oleh Anwar kepada para pengundi di Permatang Pauh supaya menghantarnya ke Putrajaya juga telah menepis perakuan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bahawa mereka tidak akan melompat menyertai gagasan 16 September.

Walhal, di pentas ceramah pilihan raya yang berasingan para pemimpin Sabah dan Sarawak turut hadir untuk menyatakan taat setia mereka kepada Barisan Nasional (BN). Mereka menolak sama sekali pelawaan Anwar.

Angka 30 Ahli Parlimen yang dianggap mustahil dapat diperoleh oleh Anwar untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri tidak lagi diambil kira. Perbuatan merampas kuasa menerusi pintu belakang yang bakal meruntuhkan amalan demokrasi sihat negara ini - perjuangan utama pakatan pembangkang - tidak lagi menjadi perhitungan.

Ikrar Anwar untuk mengubah keadaan negara termasuk pemulihan ekonomi dalam masa tiga bulan menjadi Perdana Menteri mendapat sorakan dalam setiap ceramahnya. Mereka lupa kini parti yang diterajui Anwar itu memerintah negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Menilai secara adil, di sebuah negeri pun dalam tempoh 100 hari, tidak banyak yang dilakukan oleh mereka.

Anehnya, sebutlah apa sahaja - angan- angan kosong, putar belit, pembohong, penderhaka dan penjenayah - Anwar telah membuktikan dirinya mampu meraih sokongan mahupun simpati rakyat.

Tetapi Anwar juga menyedari di Permatang Pauh beliau tidak menang semuanya. Begitu juga BN, parti itu tidak kalah segala-galanya. Malah di Permatang Pauh, dalam konteks politik nasional, ia telah menyerlahkan keperibadian sebenar seorang bernama Anwar. Di Permatang Pauh, isu moral Anwar tidak relevan, tetapi apakah itu yang akan berlaku di kawasan lain?

Mengikut pemerhati politik, kemenangan Anwar dengan majoriti besar banyak dibantu oleh kelemahan BN khususnya UMNO sebagai sebuah organisasi. Organisasi politik yang dianggap paling mantap kerana rangkaiannya berada di segenap pelosok ini, tidak bergerak sepenuhnya. Bocor di sana sini.

Dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ini, BN seperti ular sawa kekenyangan. Berpuas hati dengan apa yang telah dinikmati. Pergerakannya tidak lagi pantas dan mengejutkan, tetapi lembam dan lebih gemar menunggu tindakan lawan.
Malah kadang kala, jentera 'raksasa' BN ini terlihat takut dan cepat mengalah berbanding pihak lawan yang terkesan tangkas, agresif dan sering pula bertindak ganas dan bijak memprovokasi. Ini sehinggakan pilihan raya kecil itu disifatkan paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan 71 laporan polis berkaitan kesalahan kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat.

Anwar memang berpotensi menang di Permatang Pauh tetapi bukan dengan majoriti sebesar 15,671 undi. Begitu juga BN berpotensi untuk menang dengan jangkaan majoriti kecil sekurang-kurangnya 200 undi. Ini perkiraan kedua-dua pihak, sehinggalah beberapa jam sebelum pengumuman keputusan pilihan raya diumumkan pada malam 26 Ogos lalu.

Memang ini kubu kuat Anwar. Benar ini wilayah Anwar semenjak beliau masih bersama UMNO lagi. Permatang Pauh telah menjadi tempatnya bermain sejak 1982, yang sebelum itu menjadi kubu kuat Pas.

Di sini, beliau pernah menumbangkan tokoh muda Pas, Mohamad Sabu (1986) dan Mahfuz Omar (1990). Pada 1995 pula, beliau dengan mudah mengalahkan calon Melayu daripada DAP dengan majoriti 23,515 undi.

Sebab itu, beliau memilih Permatang Pauh dan bukannya Bandar Tun Razak mahupun Kulim Bandar Baharu.

Walaupun Anwar kaya dalam berkilah tetapi satu hal yang sudah terang lagi bersuluh ialah kegagalan atau mungkin tidak kesanggupan UMNO untuk membaca tanda-tanda zaman. UMNO dilihat tidak lagi silap membaca kehendak perubahan yang menggelora dalam masyarakat.

Zaman menuntut perubahan tetapi mereka masih asyik dengan kepentingan sendiri, sibuk melobi rezeki dan ghairah berkira- kira soal kuasa. Adalah malang jika mereka terus mahu berada seperti di padang pasir. Mendengar gema suara sendiri tapi menyangka suara orang lain. Mereka tidak mampu lagi membezakan antara kehendak sendiri dan aspirasi rakyat.

Soal pemilihan, satu hal yang tidak dapat disembunyikan di Permatang Pauh ialah soal pemilihan bahagian pada Oktober depan dan cawangan yang sedang berlangsung. Pemilihan yang disifatkan oleh beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO 'seperti dunia akan kiamat esok' dan 'politik wang begitu bermaharajalela' menyebabkan rakyat bertambah mual.

Aneh, dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil ini, rakyat khususnya orang Melayu dipertontonkan dengan tingkah laku kemaruk kuasa dan maki hamun sesama pemimpin UMNO. Mereka seperti tidak belajar mesej tsunami politik yang cuba disampaikan oleh rakyat semasa pilihan raya umum, lima bulan sebelum itu.

Anwar begitu masak dengan kelemahan UMNO ini. 'Mood' pemilihan peringkat parti mengatasi kesungguhan jentera di peringkat rangkaian parti yang paling ditagih peranannya iaitu cawangan. Walaupun daripada segi angka keahlian UMNO dan BN, Datuk Arif Shah Omar Shah sepatutnya tidak menghadapi masalah besar di Permatang Pauh.

Rombongan jentera parti dari negeri lain juga tidak banyak membantu. Tumpuan dan kekuatan tidak sepenuhnya digunakan untuk menghadapi peperangan di medan utama melawan Anwar dan pakatan pembangkang. Di lobi-lobi hotel, perbualan banyak berkisar siapa akan menentang siapa di peringkat bahagian. Malah ada dakwaan, jentera parti di peringkat cawangan tidak menunjukkan kesungguhan untuk berpadu tenaga sebagai satu pasukan sehingga jentera bantuan dari negeri lain pun mati arah.

Lebih menggerunkan, ada dakwaan pemimpin cawangan melayan godaan pihak-pihak tertentu untuk mensabotaj parti pada saat-saat akhir kempen. Mereka dikatakan menerima ganjaran besar.

Mungkin sahaja, post-mortem yang bakal dilakukan oleh BN dan UMNO kelak bakal menemukan punca kekalahan yang sama seperti pilihan raya umum lalu iaitu antaranya ialah sabotaj. Sebab itu, tuntutan perubahan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi walaupun terpaksa membayar harga yang mahal.

Ingatlah, UMNO bukan sahaja naungan untuk ahli-ahlinya tetapi juga orang Melayu. Dan, sejak berdekad-dekad dari era kemerdekaan, kepercayaan juga terus diberikan kepada UMNO untuk menaungi negara ini.

Dalam mengharungi kesan kekalahan di Permatang Pauh walaupun ia bukan gambaran sebenar pengundi di tempat lain, UMNO harus terus digerakkan dengan penuh keyakinan sebagai sebuah organisasi politik yang unggul dan relevan dengan matlamat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara.

Penegasan para pemimpin UMNO untuk melaksanakan usaha mempercepatkan program pemulihan yang sedang digerakkan sekarang dan mengambil langkah-langkah menjenamakan semula BN dengan pendekatan baru dan boleh diterima rakyat, adalah reaksi positif untuk memenuhi tuntutan perubahan.

"Ini jelas bahawa kita perlu buat satu perubahan cepat, corak, daya dan perubahan organisasi kita dan cara kita," kata Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiap pengalaman adalah guru. Pilihan raya umum 8 Mac dan pilihan raya kecil 26 Ogos lalu, semestinya menjadi cermin untuk BN dan UMNO melihat diri mereka. Jangan pula jika wajah buruk, cermin dipecahkan.

Anwar yang dibebani dengan pelbagai kontroversi bukanlah halangan untuk UMNO dapat terus diterima oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia. Beliau sekarang sudah di Parlimen. Di premis itulah, mengikut ramalan banyak pihak, puncak perjalanan Anwar. Jika nasibnya baik, beliau berpeluang bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana tuduhan mahkamah yang dihadapinya sekarang memungkinkan beliau hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya, lantas menguburkan impiannya ke Putrajaya.

Memetik kata-kata Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa hanya 20 peratus apa yang diucapkan oleh Anwar adalah fakta, selebihnya merupakan retorik semata-mata. Sebenarnya jika Anwar mendakwa boleh 'membeli' Ahli Parlimen BN, parti pemerintah itu juga lebih berkemampuan berbuat demikian.

Apa pun, keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang memihak kepada Anwar dan pakatan pembangkang perlu dihormati kerana ia merupakan pilihan rakyat. Tetapi jika pintu belakang demokrasi digunakan untuk meraih kuasa, perbuatan itu wajar ditentang kerana ia bukan kehendak dan suara hati rakyat.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment