BN tidak eksploitasi kes liwat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, kata Najib
BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi kes liwat yang dihadapi Anwar dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
“Kami tidak mengeksploitasi kes liwat itu. Ia soal peribadi,” katanya kepada pemberita selepas majlis bertemu rakyat di Kampung Permatang Rawa dekat sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Anwar yang BN menggunakan kes liwat itu sebagai slogan mereka dalam kempen pilihan raya kecil itu ekoran penyokong BN didakwa menggunakan perkataan “liwat” sebagai slogan di pusat penamaan calon semalam.
Najib tidak menafikan kes liwat dan sumpah menggunakan Al-Quran oleh orang yang mendakwa Anwar meliwatnya, bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur Jumaat lepas telah menjadi bahan perbahasan antara penyokong BN dan parti politik lain.
Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan selepas anggota Parlimen kawasan itu yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan itu pada 31 Julai bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di situ.
Ia membabitkan pertandingan tiga penjuru antara Datuk Arif Shah Omar Shah dari BN, Anwar dan presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment