02 August 2008

Baru sekarang kata pembaziran dan membebankan rakyat | Sejak bila Umno dan BN kenal itu semua

Kes liwat: Syed Hamid serah kepada AG putuskan

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan anggota Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai menyusahkan dan membebankan rakyat.

Beliau berkata tindakan itu juga merupakan satu pembaziran kerana pilihan raya kecil yang akan diadakan melibatkan banyak perbelanjaan daripada segi logistik termasuk kawalan keselamatan.

"Dalam masa yang singkat selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas, Dr Wan Azizah telah melepaskan jawatannya, daripada segi politik pengundi telah beri sokongan dan mahu dia jadi wakil mereka.

"Tindakan ini menyusahkan rakyat dan membebankan duit rakyat yang digunakan untuk pilihan raya (kecil) itu," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai kawalan keselamatan dan ketenteraman awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Khamis lepas, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengumumkan keputusan melepaskan jawatan anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar yang juga Penasihat PKR untuk bertanding di situ pada pilihan raya kecil, yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu depan.

Syed Hamid yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata sepatutnya Dr Wan Azizah bersikap jujur kepada pengundi di Permatang Pauh ketika pilihan raya umum lepas iaitu dengan memaklumkan akan menyerahkan jawatan itu kepada suaminya.

"Walaupun itu sebagai lambang kasih sayang tetapi tidak seharusnya rakyat jadi mangsa untuk tindakan peribadi mereka," katanya.

Syed Hamid juga berharap rakyat akan membuat keputusan bijak dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Beliau juga menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai peluang kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kawasan itu daripada pembangkang.

"Kunci utama untuk mencapai kejayaan itu ialah BN mesti bersatu dan bekerja keras," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Anwar akan ditahan polis berhubung kes dakwaan liwat terhadapnya, Syed Hamid berkata polis telah menjalankan siasatan sepatutnya dan terpulang kepada Jabatan Peguam Negara (AG) untuk membuat keputusan sama ada akan mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu atau tidak.

Pada 16 Julai lepas, Anwar ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23. Anwar dibebaskan dengan jaminan polis keesokannya.

"Jika didapati dia (Anwar) terlibat kes itu, akan dibawa ke pengadilan. Semuanya terpulang kepada AG. Proses undangundang tetap berjalan walaupun dia bertanding pilihan raya kecil itu," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment