KUALA LUMPUR: Desas-desus pengarah filem terkenal tanah air, Aziz M Osman, 46, melangsungkan perkahwinan minggu lalu disahkan ibunya sendiri, Afida Es.
Aziz selamat diijabkabulkan dengan seorang ustazah, Noraradhirah Ramli, 22, di Masjid Padang Nenas, Tepuh, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Pasangan itu dinikahkan sendiri bapa pengantin perempuan, Ramli Yusof, 52, disaksikan Jurunikah Mukim Batu Rakit, Ismail Yusof, 63, yang juga bapa saudara Noraradhirah.
Majlis akad nikah secara ringkas itu dihadiri saudara-mara kedua-dua pengantin, termasuk adik Aziz, Zulkifli M Osman dan isteri.
Ketika dihubungi Harian Metro semalam, Afida berkata, majlis pernikahan anak lelakinya itu dibuat secara sederhana bagi menghormati permintaan keluarga pengantin perempuan.
“Tidak perlulah heboh sangat, buat yang afdal saja sudah cukup. Lagipun tidak guna buat besar dan hantaran tinggi, tapi tak tahan lama dan bergaduh panjang.
“Kenduri sebelah lelaki belum lagi diputuskan hendak buat macam mana. Sebabnya, dua minggu selepas raya nanti cucu saya pula akan berkahwin. Kalau boleh saya tidak mahu majlis ini diadakan serentak.
“Apapun, saya serahkan kepada Aziz, dia hendak buat atau tidak majlis sebelah lelaki sebab dia sudah dewasa dan tidak mahu campur lebih-lebih.
“Saya ni jenis yang mudah dan serahkan kepada dia hendak buat macam mana pun. Kalau dia rasa hendak buat majlis, saya akan tolong apa yang patut, kalau tidak buat pun saya tidak kisah. Lagipun saya tidak mahu ganggu pelajaran anaknya dan ada yang hendak ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya.
Mengimbas perkenalan mereka, Afida berkata, pasangan pengantin baru itu bertemu di Makkah dan hubungan mereka bersambung apabila kembali ke tanah air sehingga jodoh menyatukan mereka.
Mereka kini tinggal di rumahnya bersama anak Aziz.
“Apa yang penting, mereka selamat mendirikan rumah tangga dan saya mendoakan kebahagiaan mereka sekeluarga,” katanya.
Bagi Afida, dia gembira sangat sebab isteri Aziz datang daripada keluarga baik dan tidak banyak kerenah.
Katanya, untuk perancangan lanjut biarlah pasangan itu tentukan sendiri.
“Cuma saya nasihatkan mereka pandai-pandailah bawa diri apabila berumah tangga, jangan gaduh dan saling memahami. Bagi pihak saya, saya akan cuba jadi mentua terbaik dan biarlah jodoh kali ini berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, bekas isteri Aziz, Nor Aliah Lee Abdullah akan menunaikan umrah pada 24 Ogos depan.
Dia mendoakan bekas menantunya itu menemui jodoh yang baik dan sesuai dengan dirinya.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment