30 August 2008

Abdullah sangat bimbang lompat parti benar-benar akan berlaku

Pak Lah cakap depan-depan

Jika selama ini isu pembentukan kerajaan 16 September menjadi bahan ‘perbahasan’ terbuka di medan yang berasingan, hari Jumaat, semasa pembentangan Bajet 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyentuh isu itu berdepan dengan orang yang bercita-cita membentuk kerajaan baru berkenaan.

Abdullah dalam ucapan penutupnya semasa membentangkan bajet tersebut walaupun tidak menyebut nama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tetapi kalimat yang dilontarkan sudah cukup untuk ditafsirkan sebagai ingatan kepada Anwar.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat oleh rakyat pada bulan Mac lalu akan terus memelihara kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara.

“Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak….Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan. Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada Barisan Nasional yang telah menang majoriti pilihan raya umum secra sah dan mengikut lunas demokrasi,” katanya.

Ucapan beliau disambut dengan tepukan meja oleh Ahli-Ahli Parlimen BN dan Anwar kelihatan tersenyum sambil menundukkan kepalanya.

Keyakinan Abdullah melontarkan ingatan tersebut berasas kerana selama ini Anwar memberitahu beliau sudah mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Namun hari Khamis, 50 Ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak telah menandatangani ikrar untuk terus bersama dengan BN. Empat lagi Ahli Parlimen BN iaitu dua daripada SAPP dan dua lagi dari UMNO tidak menandatangani ikrar tersebut.

Dua Ahli Parlimen UMNO dari Sabah iaitu Ahli Parlimen Kimanis dan Kalabakan iaitu Datuk Anifah Aman dan Datuk Ghapur Salleh yang tidak menurunkan tandatangan mempunyai alasan tidak berbuat demikian.

Bagi Anifah, beliau telah berulang kali secara terbuka menafikan akan lompat parti dan menganggap itu adalah bukti yang cukup beliau akan terus bersama BN.

Ghapur pula menyifatkan ikrar sokongan itu seolah-olah Ahli Parlimen Sabah tidak boleh dipercayai dan tindakannya tidak menandatangani ikrar itu bukan bermakna beliau tidak setia dengan BN.

Selain isu kerajaan baru, Abdullah turut melontarkan kenyataan yang bersahaja tapi penuh bermakna bahawa beliau ada melakukan beberapa kesilapan tetapi mengakuinya.

Bukan macam ada sesetengah orang katanya, melakukan kesilapan tapi tidak mahu mengaku salah. Kenyataanya itu dirasakan dituju kepada Anwar.

Abdullah turut mengambil peluang bersemuka dengan Anwar semasa pembentangan bajet itu menegaskan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab,permasalahan rakyat akan diatasi terutama golongan yang berpendapatan rendah.


“Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik.

“Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara,” tambahnya.

Anwar pula dalam reaksinya, menyifatkan Abdullah membangkitkan isu pembentukan kerajaan baru itu kerana bimbang lompat parti benar-benar akan berlaku.

www.agendadaily.com

No comments:

Post a Comment