27 August 2008

11,418 anggota BN Permatang Pauh tidak mengundi Arif Shah

BN tewas: Tiada lagi wibawa PM, Najib

Kemenangan PKR semalam di Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar membuktikan lagi BN telah ditolak oleh ahli-ahlinya sendiri dan kewibawaan perdana menteri serta timbalannya terhakis sepenuhnya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

"Jumlah undi yang diperolehi BN kurang daripada bilangan ahli-ahli Umno di kawasan (parlimen) itu," katanya.

Dalam kenyataannya mengulas kemenangan besar penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil itu, ahli parlimen Gua Musang berkata BN tetap tewas walaupun seluruh sumber dan kepimpinannya dikerahkan untuk berdepan tokoh pembangkang itu.

Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi - peningkatan lebih 2,000 undi berbanding yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebanyak 13,388 pada pilihanraya umum Mac lepas.

Menurut satu analisis Bernama hari ini, daripada 58,459, sebanyak 26,942 pemilih anggota parti komponen BN, termasuk Umno seramai 19,442 anggota di kawasan parlimen berkenaan.

Gerakan pula mempunyai 2,900 anggota, MCA (2,400), MIC (1,700) dan PPP (500) anggota yang layak mengundi.

Bagaimanapun, calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah berjaya mengutip 15,524 undi - membayangkan 11,418 lagi anggota BN tidak memangkah calon parti itu sendiri atau tidak keluar mengundi.

Tengku Razaleigh menambah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memikul beban ketewasan ini.

"Mustahil untuk disembunyikan: beliau tidak memiliki lagi sekelumit kewibawaan yang perlu untuk mentadbir negara dari hari ke hari, apatah lagi mengatur arah baru yang kita semua perlukan untuk maju dalam dunia yang kompleks," katanya, yang juga popular dipanggil Ku Li.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment