Azizah serah usul undi tidak percaya PM di Parlimen petang ini
Pakatan Rakyat memfailkan di Parlimen usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini dan ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.
Ia akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.
Pada waktu usul itu difailkan di Pejabat Speaker Dewan Rakyat pada pukul 3.45 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuaratnya di Menara Dato' Onn di sini.
Azizah memasuki pejabat Speaker pada pukul 3.35 petang tadi dengan diiringi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jafar.
Perkembangan membawa usul itu merupakan yang kedua dalam tempoh sebulan ini.
Tiga minggu lalu Parti Maju Sabah (SAPP) - parti komponen Barisan Nasional (BN) melahirkan pendirian tidak percaya kepimpinan Abdullah dan memutuskan untuk membawa usul yang serupa pada 23 Jun lalu apabila Dewan Rakyat mula bersidang selepas berehat selama tiga minggu.
Bagaimanapun usul berkenaan tidak menjadi kenyataan dan semalam SAPP mengulangi bahawa usul sedemikian akan diteruskan kelak.
Azizah dalam sidang akhbar berkata, pihaknya membawa usul berkenaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang semakin teruk.
Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2).
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment