28 July 2008

Tahniah atau simpati?

Jodoh bermadu di usia muda

KUANTAN: “Saya reda dan menerima ketentuan Allah mendapat jodoh dalam usia muda walaupun sebagai isteri kedua,” kata Siti Aminah Zainuddin, 19, anggota kumpulan nasyid Mawaddah, semalam.

Menurutnya, dia bersyukur apabila dipertemukan jodoh dengan Shamsul Amir Shahbudin, 38, seorang ahli perniagaan kerana dia bukan saja seorang lelaki baik, tetapi bertanggungjawab serta mentaati suruhan Allah.

“Madu saya, Masitah Abdullah, 36, dapat menerima saya dengan hati terbuka, malah menganggap saya sebagai adiknya apabila dapat tinggal dalam satu rumah.

“Bagi saya poligami itu indah dan berupaya memberi pahala besar jika seseorang wanita itu memahaminya,” katanya yang kini tinggal di Temerloh.

Siti Aminah ditemui pada majlis perkahwinan secara beramai-ramai di Dewan Mat Kilau di sini, semalam.

Seramai lapan pasangan terdiri daripada kakitangan Global Ikhwan Sdn Bhd diraikan pada majlis bermakna itu.

Majlis anjuran syarikat berkenaan itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk berjimat-cermat.

Bagi Masitah, perkahwinan kedua suaminya adalah hadiah bermakna sempena hari jadinya ke-38.

“Tiada hadiah lebih istimewa dan berharga kecuali membenarkan suami mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan wanita pilihannya.

“Saya kenal dengan madu saya, dia seorang wanita baik dan berhati mulia,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Menurutnya, dia gembira dan terharu apabila dapat menyaksikan majlis persandingan mereka berdua.

Shamsul Amir pula berkata, perkahwinan keduanya itu dianggap fitrah dan kejayaan perjuangannya terhadap poligami yang sukar diterima kebanyakan wanita.

Dia mahu membuktikan madu yang dianggap racun oleh kebanyakan wanita sebenarnya indah selain memberikan pahala besar kepada mereka.

“Kedua-dua isteri saya mempunyai hubungan yang baik...mereka bukan saja boleh bekerja bersama, tetapi turut tinggal serumah,” katanya.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment