02 July 2008

Syor gantung tugas Musa dan Ghani kerana dibimbangi mempengaruhi siasatan salah laku

Peguam Anwar syor Musa, Gani digantung tugas sementara

Salah seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa kerajaan menggantung perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sehingga siasatan terhadap laporan polis terhadap mereka selesai.

Yusmadi Yusof berkata, jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa kerajaan akan memastikan Anwar tidak akan dianiaya dan dizalimi berikutan dakwaan meliwat melibatkan beliau minggu lalu tidak bererti jika beliau gagal bertindak terhadap kedua-dua personaliti itu.

"Jaminan kerajaan itu agak kosong bunyinya selagi ia tidak menunjukkan sebarang komitmen dengan mengambil tindakan konkrit termasuk menggantung khidmat kedua-dua Musa dan Gani.

"Ini perlu dilakukan bukan sahaja kerana kedua-dua mereka itu berkepentingan, malah satu laporan polis telah pun dibuat terhadap mereka oleh Anwar. Jadi bagi memastikan keadilan, mereka patut digantung tugas sehingga siasatan selesai.

"Ini biasa dilakukan dalam kes-kes yang melibatkan personaliti penting di kebanyakan negara lain," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Yusmadi yang mewakili Anwar ketika Suruhanjaya Diraja mengkaji pita video melibatkan pengaturan perlantikan hakim akhir tahun lalu berkata, Perdana Menteri juga perlu memastikan Musa dan Gani tidak langsung terlibat dalam setiap peringkat siasatan kes liwat kedua terhadap Anwar.

Katanya, bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara ini, kerajaan mesti memastikan kedua-dua mereka yang memainkan peranan penting dalam siasatan dan dakwaan kes serupa terhadap Anwar 10 tahun lalu itu tidak terlibat dalam proses kali ini.

Anwar dalam laporan polisnya semalam mendakwa Musa dan Gani yang pada September 1998 adalah masing-masing pegawai penyiasat kanan dan pegawai pendakwa kanan terlibat dalam usaha untuk menutup perbuatan Ketua Polis Negar ketika itu Tan Sri Rahim Noor yang telah mencederakan beliau sehingga menyebabkan mata beliau lebam.

Mengenai isu keselamatan, Yusmadi berkata, usaha telah dipertingkatkan oleh PKR dan golongan yang bersimpati untuk memastikan Anwar dan keluarganya sentiasa dalam keadaan selamat.

"Anwar dan keluarganya sentiasa dilindungi di mana sahaja mereka berada. Kami tidak boleh memberikan maklumat lain mengenai isu ini bagi memastikan semua mereka sentiasa dalam keadaan selamat," tambahnya.

Abdullah semalam memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan Anwar tidak dianiaya.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini tidak ada sebab untuk kerajaan memastikan Musa dan Gani tidak terlibat dalam siasatan kes terbaru terhadap Anwar kerana mereka adalah pegawai yang sangat berpengalaman yang setiasa bersikap profesional.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment