20 July 2008

Sudah sampai ke peringkat antarabangsa masih percaya hantu raya

Chef Wan dibomohkan?

Ini bukan cerita wayang atau filem Jangan Pandang Belakang, tetapi yang dilalui chef terkenal negara kita, Redzuawan Ismail (Chef Wan) hampir dua tahun lalu.

Bukan setakat itu, berminggu-minggu seluruh badannya gatal-gatal, bengkak dan panas. Puas mendapat rawatan doktor, termasuk ujian darah, namun tiada kesan surutnya. Tapak kaki bagaikan dicucuk jarum, sukar untuknya berjalan.

Lebih memilukan, Chef Wan memberitahu, fikirannya sering terganggu, termasuk dua bulan lalu, sehingga mengacau jadual kerja hariannya. Dia hairan dengan perangai sesetengah manusia yang pernah dianggap kawan tetapi cuba menikam dari belakang.

“Hanya Tuhan tahu betapa seksanya saya berdepan dugaan itu. Berminggu-minggu badan saya gatal-gatal, bengkak-bengkak macam bintat. Makan pun tak lalu sejak tiga minggu lalu. Asal Maghrib saja sampai Subuh, ia menjadi.

“Kaki bagaikan dicucuk jarum. Malam-malam bunyi benda merangkak dan mencakar atas siling. Menakutkan.

“Saya cuba mendapat rawatan doktor, buat ujian darah, ujian itu, ujian ini, tetapi doktor kata saya tidak sakit apa-apa. Semuanya normal,” katanya yang ada di Pulau Pinang untuk menjayakan rakaman Ole-Ole Chef Wan ketika dihubungi.

Selepas doktor gagal mencari punca ‘dugaan’ yang dihidapinya, Chef Wan mendapat bantuan beberapa orang yang pakar dalam dunia perubatan tradisional.

Dia bertemu tiga ustaz. Alangkah terkejutnya kerana sakit dan apa yang berlaku di rumahnya ada kaitan dengan ilmu sihir yang dihantar seseorang.

Menurut mereka, lebih dua tahun Chef Wan dibomohkan tetapi ketika itu dia tidak perasan sehinggalah tahun lalu dia mulai merasa sesuatu yang tidak kena di rumahnya.

Seseorang yang dikenali di dalam industri ini dikatakan bertanggungjawab menggunakan benda halus untuk tujuan tidak baik terhadap Chef Wan.




Ketiga-tiga ustaz itu ‘mendapati’ Chef Wan ‘diserang’ hantu raya untuk membinasakan diri dan seisi keluarganya atas alasan si penghantar itu berdengki dengan kejayaan Chef Wan selama ini.

“Dia mahu memusnahkan hidup saya. Difahamkan, dia menggunakan patung untuk menyakitkan kaki saya supaya lumpuh. Apa salah saya? Ustaz kata, kononnya orang ini mahu menutup periuk nasi saya.

“Demi Allah, berdosa jika saya sebut nama dia. Biar Allah saja menghukum dia di akhirat kelak . Kita orang Islam, tidak baik tuduh menuduh kalau tidak nampak depan mata walaupun ketiga-tiga ustaz itu memberi bayangan serupa. Namun bukti itu saya tidak boleh dedahkan di sini.

“Saya bermohon pada Allah supaya jauhkan semua ini. Saya pakai pendinding dan pagar rumah dengan ayat Kursi dan ikut ajaran serta sunnah nabi untuk melawan ilmu sihir ini.

“Saya juga ke Klang untuk berubat dan masih berubat. Bomoh itu mengeluarkan kain hitam berbungkus buah-buah gatal dan pasir kubur yang ditanam di kawasan rumah saya,” katanya yang masih terasa sakit kaki.

Kebetulan ada di Makkah hampir sebulan lalu, di depan Kaabah, Chef Wan memohon kepada Allah supaya tunjukkan jika ada yang tidak betul sehingga dia diganggu begitu sekali.

Bagaimanapun, menurut chef yang akan berangkat ke Utara China untuk rakaman masakan Laluan Sutera terbitan sebuah stesen TV Perancis pada 9 September ini, dia tidak sesekali membalas perbuatan manusia itu dengan kejahatan. Sebaliknya dia pasrah kepada kuasa Allah.

Chef Wan baru saja melancarkan buku masakan Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan dengan kerjasama Avon. Projek ini juga dikatakan cuba disabotaj oleh pihak berkenaan, walhal kata Chef Wan, dia mengeluarkan wang poketnya berjumlah RM100,000.

RM1 daripada jualan buku yang dicetak sebanyak 20,000 naskhah itu akan disalurkan ke rumah anak yatim.

“Saya tidak terlintas nak sakitkan hati atau sekat rezeki orang lain. Sekarang saya akan ke peringkat antarabangsa lagi untuk program masakan bersama saluran Asian Food Channel, China Food Network dan UK Food, dan membawa pulangan lumayan yang saya berikan semula untuk masyarakat.

“Kenapa manusia begitu kejam sampai nak telungkupkan kerjaya saya?

“Saya cabar dia, kalau dia berani berdepan saya. Saya benci orang yang tikam belakang, dah jadi gunting dalam lipatan. Saya pasti dia juga menjaja cerita buruk mengenai saya kepada rakan media atau kawannya, padahal saya yang menjadi mangsa.

“Saya tidak tahan dengan manusia jenis ini. Selama ini mereka terlepas daripada pembohongan dan sikap hipokrasi, sanggup mengampu demi kepentingannya. Allah Maha Kaya, akhirnya pecah tembelang. Dengan saya, jangan main-main.

“Saya orang baik tetapi sekarang sarang tebuan saya dijolok, jangan buat saya hingga terduduk. Semua selebriti chef kata pada saya, mereka tabik kerana keberanian saya. Ini bukan yang pertama kerana sebelum ini chef lain juga terkena,” katanya.

Alhamdulillah, dia beransur pulih. Chef Wan memberitahu, siling rumahnya berlubang selepas proses tangkapan hantu raya yang dimasukkan ke dalam botol oleh ustaz itu.

Pernah terdetik di hatinya untuk bertindak balas tetapi difikirkan semula, dia tidak mahu menari dengan rentak sama dengan mereka yang tidak berhati perut. Biarpun puas ditanya, Chef Wan yang suka bercakap itu tetap merahsiakan orang yang dimaksudkannya di dalam cerita ini.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment