Skandal di sel
KUALA LUMPUR: Akibat terkurung terlalu lama dalam penjara, segelintir banduan senior sanggup melampiaskan nafsu mereka terhadap banduan ‘jambu’ walaupun terpaksa melakukan hubungan sejenis.
Sebagai balasan, banduan yang dikenali sebagai ‘abang’ itu menawarkan perlindungan terhadap banduan jambu terbabit.
Banduan jambu yang digelar ‘adik’ turut mendapat keistimewaan daripada ‘abang’ seperti bekalan rokok dan makanan dipercayai diseludup masuk ke dalam penjara oleh pihak tertentu.
Perbuatan keji yang dilaknat Tuhan itu didedahkan kepada wartawan Harian Metro oleh seorang bekas banduan jambu yang hanya ingin dikenali sebagai Abu, 31.
Dia menjadi mangsa pemuas nafsu sekumpulan banduan senior apabila dihukum penjara setahun dan satu sebatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.
Detik hitam dalam hidupnya kira-kira setahun lalu itu bermula pada hari pertama dia dipindahkan dari lokap ke penjara.
Menurutnya, dia tiba-tiba diganggu sekumpulan banduan senior yang mengugut memukulnya jika tidak mengikut arahan mereka.
“Saya diperlakukan seperti binatang, termasuk dipaksa melakukan pelbagai aksi tidak bermoral seperti onani di depan mereka.
“Jika enggan melakukannya, saya diugut akan dipukul dan dicederakan beramai-ramai,” katanya.
Mangsa yang masih enggan melakukan perbuatan itu akhirnya diselamatkan kumpulan banduan senior lain yang menawarkan perlindungan.
Dia yang dalam ketakutan terus bersetuju tanpa menyedari kesan menyertai kumpulan berkenaan.
Abu berkata, selepas menyertai kumpulan itu, dia tidak lagi diganggu banduan lain kerana sering bergerak bersama.
Seminggu selepas itu, kata Abu, pada jam 12 tengah malam ketika pertukaran giliran wadar penjara, dia terkejut apabila dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dengan ahli kumpulan terbabit.
“Jika menolak, saya diugut akan diserahkan kepada kumpulan yang pernah mengganggu saya sebelum ini.
“Saya yang bimbang dengan ugutan itu akhirnya terpaksa menjual maruah dengan membenarkan mereka meliwat saya,” katanya.
Mangsa yang tidak tahan dengan seksaan itu melaporkan kepada wadar sebelum diasingkan ke sel lain.
Bagaimanapun, Abu berkata, ketika makan tengah hari, dia didatangi ahli kumpulan berkenaan yang mengugut akan memukulnya jika tidak kembali menyertai mereka atau diserahkan kepada kumpulan banduan senior lain.
“Bimbang dipukul dan kehilangan keistimewaan yang diperoleh selama ini, saya menyertai semula kumpulan itu selepas ditempatkan dalam sel biasa,” katanya.
Katanya, dia terpaksa merelakan perbuatan songsang itu setiap malam secara bergilir-gilir oleh enam ahli kumpulan itu sebelum diberikan makanan yang enak dan rokok sebagai ‘hadiah’ melayan mereka.
“Pada mulanya memang menyeksakan, tapi lama kelamaan menjadi kebiasaan menyebabkan saya ketagih melakukan hubungan terkutuk itu,” katanya yang tamat menjalani hukuman dan kini kembali menjalani kehidupan seperti insan biasa.
Sementara itu, sumber penjara berkata, perbuatan terkutuk seperti itu di kalangan banduan memang berlaku, tetapi tidak didedahkan kepada umum disebabkan faktor tugas dan keselamatan.
Menurutnya, kejadian itu sering dilakukan banduan ketika pertukaran syif wadar kerana ketika itu kawalan keselamatan agak longgar.
“Saya difahamkan, gelaran jambu diberikan kepada mereka yang terpaksa menawarkan khidmat seks luar tabii kepada banduan senior bagi mendapatkan perlindungan dan bahan haram seperti rokok,” katanya.
“Malah, ada yang bercinta sesama mereka serta bebas melakukan hubungan sejenis. Mereka tidak diganggu kumpulan banduan lain,” katanya.
Katanya, kegiatan itu sering dilakukan banduan senior yang memiliki pengaruh dan lama menjadi tahanan.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment