16 July 2008

Sebelum ini jika kalah cari menteri penerangan lain | Kini, tidak timbul siapa kalah dan menang - Shabery

Kerajaan akan kaji kesan debat – Najib

ALOR STAR 16 Julai – Kerajaan bersedia pertimbangkan untuk membenarkan majlis debat mengenai isu-isu semasa selepas mengkaji kesan debat khas malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kesan daripada debat itu akan ditinjau terlebih dahulu selain menilai dua aspek iaitu pendapat umum dan dasar terbuka kerajaan.

Mengulas debat khas antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib berkata, debat itu secara umumnya diterima baik.

“Kita tengok reaksi rakyat nanti, isi adalah satu perkara dan style adalah satu perkara lagi”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Perayaan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri dianugerahkan Darjah Mahkota Kedah (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, penyertaan menteri Kabinet dalam debat seumpama itu membuktikan satu era baru dalam dasar keterbukaan kerajaan.

“Ini membuktikan kerajaan jujur dan kita tunjukkan kepada rakyat apakah dasar-dasar kita”, katanya kepada pemberita di majlis yang sama selepas menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau berkata, dari aspek kaedah, debat yang dianjurkan malam tadi adalah baik dengan tempoh masa yang mencukupi.

Mengenai kandungan debat malam tadi, beliau menyifatkan fakta yang dikemukakan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Anwar itu sememangnya telahpun dilaksanakan oleh kerajaan termasuk mewujudkan jaringan sosial dan membantu rakyat yang susah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula menyifatkan debat malam tadi sebagai sesuatu yang positif untuk memberi ruang kepada pembangkang memberikan pendapat mereka.

“Bagi saya Anwar telah memberi fakta-fakta yang meyakinkan dari aspek ekonomi”, katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ahmad Shabery berharap perdebatan antara dua pihak berlainan pendapat akan dapat dijadikan budaya dalam politik tanah air pada masa depan.

“Ini (debat) satu perkara yang belum diinstitusikan lagi dalam sistem berpolitik kita dan semalam adalah satu permulaan yang dianggap menarik oleh ramai orang, katanya.

“Dalam mengadakan debat ini, ia bergantung kepada banyak sebab seperti siapa yang sanggup berdebat, siapa penganjurnya dan bagaimana mengendalikannya.

“Semalam sahaja saya dapat pelbagai komen, ada yang sokong dan ada yang marah saya. Tapi itu satu kebiasaan. Yang pentingnya apakah kita akan pergi ke satu tahap menginstitusikan debat dalam sistem berpolitik kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, debat juga merupakan salah satu saluran untuk kerajaan mempertahankan dasar-dasarnya selain ia merupakan perkembangan baru dalam sistem politik negara.

Mengenai dakwaan beliau menggunakan serangan peribadi ke atas Anwar ketika berdebat malam tadi, Ahmad Shabery berkata, beliau tidak mengenakan sebarang serangan bersifat peribadi terhadap Anwar.

“Cuba ceritakan mana yang dikatakan serangan peribadi? Yang dulu itu dasarnya mengenai pendekatan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Penting saya sebutkan di situ kerana kalau kita tidak menimbulkan dasar dahulu bagaimana ia dapat memberi kredibiliti kepada dasar baru yang nak dibuat?

“Serangan peribadi ini lain..ia pasal pakaian, kesukaan dan muka..kalau atas dasar lama, itu bukan serangan peribadi. Itu bagi mengukuhkan hujah saya,” katanya.

Ditanya siapa yang menang dalam perdebatan itu, Ahmad Shabery berkata, tidak timbul soal mengenai siapa yang menang atau yang kalah kerana masing-masing telah memberikan pandangan.

“Apa yang penting kita telah sampai ke tahap baru dari segi cara kita berpolitik, berbahas dengan cara yang baik dan ada format yang tertentu dan tak perlu takut untuk berbahas,” katanya.

Di KUCHING, Menteri Perumahan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, debat terbuka antara Ahmad Shabery dan Anwar malam tadi menjadi titik permulaan kepada demokrasi politik yang lebih matang.

Katanya, program seperti itu dilihat lebih sihat berbanding tindakan mengadakan demonstrasi jalanan yang boleh mencemar imej negara ini sekali gus memberi banyak masalah kepada rakyat.

“Debat seperti ini baik dan ia bukti ketulusan dan kematangan kerajaan dalam menangani sebarang isu seperti isu minyak tanpa perlu kita membuat demonstrasi jalanan sebagai tanda tidak puas hati kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu persidangan mengenai usaha meningkatkan prestasi.

Johari berkata, debat itu juga menjadi ujian kepada seseorang tokoh politik khasnya dari segi intelektual selain memahami secara mendalam sesuatu isu sebelum membahaskannya kepada umum.

Katanya, adalah diharap lebih banyak lagi debat seperti itu akan diadakan pada masa akan datang kerana ia adalah baik untuk semua pihak termasuk orang ramai yang menjadi pemerhati. — Bernama

No comments:

Post a Comment